Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin, apa lagi untuk dikategorikan sebagai pemimpin yang ulung dan hebat. Kepimpinan merupakan satu tanggungjawab yang besar, yang memerlukan daya dan upaya yang membawa mereka yang dipimpin merealisasikan arah tuju dan matlamat yang dicita-citakan oleh seorang pemimpin. Lumrah kehidupan, pemimpin juga manusia, bukan semuanya boleh memimpin, ada yang benar-benar terkesan kepimpinannya, tak kurang juga yang hanya boneka. Ada pelbagai cara seseorang itu memegang jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi, ada pemimpin dilantik oleh ‘wahyu’ , ada yang berjaya dengan cara melobi, ada juga yang dipilih secara musyawarah. Tak kisah, yang penting pemimpin perlu menjadi pemimpin. Pemimpin perlu memikul amanah yang disandangnya dengan penuh iltizam dan bertanggungjawab. Pemimpin perlu ingat dia ada pengikut yang sedang dipimpin, dia perlu pengikutnya untuk menggerakkan cita-cita dan matlamat perjuangannya. Pemimpin dan yang dipimpin saling melengkapi, pemimpin dan yang dipimpin perlu serasi.
Negara-negara barat yang selama ini menganggap diri sebagai pemimpin dunia, yang boleh menggerakkan negara-negara lain untuk akur dengan telunjuk mereka kini sedang berhadapan dengan rintangan yang sengit untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pemimpin utama dunia, khususnya untuk bersaing dari segi sumber ekonomi, sosio-budaya dan teknologi. Maka tidak hairanlah satu hari nanti, dunia akan beralih kepimpinan. Itu cerita dunia, biarlah yang sedang beradu nasib menentukan kedudukan mereka. Siapa juga yang berkuasa, kita tetap perlu meneruskan kehidupan di bumi tercinta ini walaupun terpaksa menyesuaikan diri dengan kepimpinan baru kelak. Perubahan sememangnya sudah menjadi sebahagian dari rutin manusia – berubah untuk menjadi lebih baik. Cerita mengenai kemelut kepimpinan dunia tidak banyak berbeza dengan kepimpinan negara.
Suatu masa dahulu ketika Tun Mahathir melepaskan tampuk kepimpinannya sebagai Perdana Menteri Malaysia, rakyat tertanya-tanya siapakah penggantinya? Adakah penggantinya kelak dapat menandingi Tun dalam corak kepimpinannya? Penggantinya Pak Lah, terpaksa berhempas pulas menyusun strategi demi strategi untuk meletakkan dirinya sehebat Tun, namun bagaimana hebatnya perjuangan seseorang pemimpin itu, akhirnya yang menentukan kehebatan kepimpinannya ialah persepsi rakyat. Buatlah pelbagai pembaharuan, lakukan pelbagai transformasi, kalau tiada penandaarasan dan kayu ukur untuk dibuat perbandingan, kalau apa yang dilakukan tidak memberi impak kepada masyarakat, janganlah disebut soal perubahan. Rakyat selesa dengan kehidupan rutin yang aman sejahtera, biarpun kesejahteraan itu bukan milik semua. Pak lah tidak gagal sebagai pemimpin, sebaliknya rakyat masih mencari-cari seorang pemimpin yang sehebat Tun. Rakyat tidak mahu pemimpin yang hanya meneruskan apa yang telah diperjuangkan oleh pemimpin sebelumnya. Najib sebagai seorang yang tidak kurang pengalaman dalam kepimpinan negara tidak mensia-siakan masa untuk mengatur strateginya. Satu demi satu strateginya untuk memenangi hati rakyat mengena, rakyat gembira dan mahukan kepimpinannya. Rakyat sudah mula seiring langkah menjejak pelan transformasi kerangkanya. Penat lelah, jerih peritnya bakal ditentukan dalam pilihan raya, insya-Allah biar ada yang membantah, biar ada yang menerjah, kepimpinan Najib pasti tak akan goyah. Sekiranya kehebatan Najib dapat mengatasi Mahathir, sekali lagi rakyat akan mula bertanya, siapa PM selepas Najib? Sekali lagi sang pengganti perlu merancang lebih awal agenda ‘survival’nya, agar kesinambungan kepimpinan Najib tidak pincang dan membuka ruang kepada pencabar-pencabar politik yang sedang mencari peluang dan ruang untuk menukar kerajaan. Sebagai mana yang sedang dilalui oleh kepimpinan kerajaan, begitu juga yang mungkin sedang berlaku dalam badan-badan politik pembangkang, NGO, dsbnya.
Masyarakat kini semakin berpendidikan, semakin cerdik dalam mencatur kehidupan. Masyarakat mahukan kehidupan yang sempurna: persekitaran yang aman, kehidupan yang menyenangkan, kegembiraan dan kekayaan. Pemimpin tidak lagi boleh memberi arahan dan berlagak pahlawan, pemimpin perlu cerdik strategi dan psikologi. Kehendak pengikut semakin kompleks dan pelbagai, tiada lagi istilah ‘pak turut’. Pengikut sudah berani mencabar pemimpin, janji yang tidak dikotakan akan buruk natijahnya, kebebasan yang disekat akan disanggah tanpa rasa gentar. Pengikut semakin agresif, semakin kurang rasional demi memastikan kelestarian kehidupan hari ini dan kesenangan generasi masa depan.
Jika beginilah cabaran yang perlu ditempuh oleh seorang pemimpin, bersediakah mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin ini untuk menerajui kepimpinan yang menjanjikan masa hadapan yang cemerlang kepada pengikutnya yang pelbagai ragam, dan dalam masa yang sama dapat dapat menelan segala asam garam kehidupan yang penuh dengan ujian dan cabaran?
No comments:
Post a Comment