August 12, 2011

Kubuka semula blog ziemama-seindahbicara

Sejujurnya aku tidak mahu lagi berkongsi blogku dengan pengunjung luar, lalu aku hadkan kepada mereka yang aku undang sahaja. Namun, atas permintaan rakan2 yang mahu mengisi masa lapang membaca nukilan hatiku aku dengan ikhlas dan rela membukanya semula. Harap kalian yang membacanya dapat mengambil iktibar dari apa yang tercatat dalam blogku. Aku bukan wanita sempurna, aku juga seperti kebanyakan wanita di luar sana, aku diuji dengan segala cerita yang sukar kuzahirkan kepada rakan dan saudara. Aku lebih senang menjadi lilin yang menerangi hidup insan lain daripada berharap kepada cahaya dari insan lain. Aku bahagia melihat orang lain bahagia.

Catatan yang terdapat dalam blog ini adalah simpanan pengalaman sendiri, pengalaman teman-teman rapat, kenalan dan saudara, yang memfokuskan kepada soal hati - soal hubungan suami isteri, soal anak2, soal persahabatan. Aku sangat menghargai institusi kekeluargaan, justeru apa juga permasalahan dan tekanan yang dihadapi oleh kaum wanita aku sedia mendengar, aku sedia menukilkan untuk membantu meredakan perasaan mereka yang tidak pandai menyurat apa yang tersirat. Sesungguhnya melahirkan apa yang terpendam di dalam hati, meluahkan apa yang tersekat di dalam kalbu melalui penulisan adalah ibarat kita bercakap dengan tuhan. Dialah tempat kita mengadu dan meminta segala pertolongan. Melalui tulisan kita juga boleh menzahirkan perasaan dan apa juga yang tersirat. Suatu kelegaan bila apa yang terbuku dapat diluahkan.

Yang tidak pernah diuji dengan masalah dalam perkahwinan, bersyukurlah kepada Ilahi dan berdoalah agar dihindari. Berhati-hatilah kerana apa yang berlaku pada orang lain tidak mustahil akan menimpa anda suatu hari nanti, Sentiasalah berdoa, muhasabah diri dan berusaha memastikan institusi perkahwinan anda dibaja dan disuburkan dengan kejujuran dan keikhlasan. Kita manusia, insan yang lemah, insan yang berdosa... sesiapa sahaja bisa alpa, bisa terjerumus ke lembah hina, bisa lalai mengejar hal lain sehingga lupa tanggungjawab kepada Allah, suami, dan keluarga.

Yang sudah diuji...terimalah ujian itu dengan hati yang kuat. Anggaplah apa yang berlaku sebagai suatu pengalaman hidup yang bermakna dalam kehidupan kita yang singkat ini.

No comments:

Post a Comment