Emmm, pejam celik tahun 2011 sudah sampai ke penghujungnya. Tidak sampai 6 jam lagi, tahun 2011 sudah kutinggalkan dan aku akan terus menggagahi diri menyusuri jalanan 2012 sehingga akhir nafasku...hanya Allah yang mengetahui bilakah waktunya itu.
Selama 42 tahun aku bernafas di bumi Allah ini, tahun 2011 adalah tahun yang begitu sukar bagiku. Sukar melalui ujian yang silih berganti. Aku hanya mampu berharap dan berdoa tanpa jemu agar Allah memberi aku kekuatan dan ketabahan dalam melalui semua yang telah tersurat untukku.
2 kisah yang benar-benar memberi impak yang tinggi kepadaku, ingin aku kongsikan dalam diari ini.
Kisah 1. Siapa tahu, pada usia 42 tahun Allah memberi aku peluang untuk hamil sekali lagi. Sungguh gembira hatiku ketika itu, sungguh teruja mendapati aku positif mengandung. Nurin pun dah 6 tahun, tentu seronok jika dapat menimang anak kecil dan mendengar suara rengekannya di rumah ini. Namun, di satu hari yang tenang, tatkala aku meminjam BB abang untuk bermain permainan di dalamnya, aku terbaca sebuah sms yang amat-amat tidak dapat diterima oleh mata dan akal fikiranku. Tanpa berfikir panjang dan mengesyaki apa-apa aku tunjukkan kepada suami tercinta apa yang aku baca. Bila aku minta pinjam BBnya sekali lagi, semua sms telah terpadam...benarkah apa yang aku baca sebentar tadi. Tapi Allah mahu menunjukkan sesuatu yang lebih dari itu. Ya Allah apa yang aku lihat itu??? Oh katakan ia hanya sebuah mimpi... Aku tidak percaya dan aku tidak boleh terima ini semua! Benarkah suamiku sudah punya kekasih gelap. Ya Allah hidupku kosong ketika itu. Terhenti jantungku. Terasa lemah longlai seluruh tubuhku. Tidak mungkin! Tidak mungkin! Dia amat menyayangi aku dan anak2ku. Dia seorang suami yang penyayang, baik dan bertanggungjawab. Tidak mungkin dia tergamak menipu aku. Tidak mungkin dia sudah membenci aku. Tidak mungkin dia sudah tidak menyayangi aku lagi. Anak di dalam kandunganku ini apa??? Bukankah itu bukti cinta kita. Ya Allah...kenapa dia tergamak berlaku curang di belakangku. Aku melangkah kaki meninggalkan dia dan anak2 di SRAI untuk membawa diri entah ke mana mngikut rentak kaki... Aku sudah tidak boleh hidup dengannya lagi. Aku benci melihat wajahnya yang telah mencalar kepercayaanku kepadanya selama ini. Aku benci padanya. Tapi sifat kasihanku melebihi kebencianku. Aku pujuk hati memaafkan dirinya dan perempuan yang berstatus isteri orang itu. Aku memang tidak faham bagaimana semua ini berlaku. Aku tanya suamiku apa salahku, mengapa aku diperlakukan sebegini, mengapa dia menganiayai aku...dia hanya diam mmbisu. Aku minta diceraikan dan dia tidak mahu melepaskan aku. Aku tidak menemu kebenaran dari mulutnya apakah punca yang menyebabkan dia beralih pandangan kepada perempuan itu. Mungkin kalau aku dapat bertanya kepada perempuan itu, aku akan dapat jawapannya. Aku akan tahu apa kelemahan aku, apa yang suami aku tertarik sangat kepadanya. Aku buntu. Kesan dari kedukaan yang meruntun jiwa...kandunganku tidak dapat berkembang dengan baik, dan aku keguguran. Dalam tempoh bercuti aku selongkar PC dan fail-fail suamiku dan banyak lagi yang aku temui. Ya Allah apakah tindakan aku memaafkan kedua-duanya itu betul? apakah tindakan aku memberi peluang kedua kepada suamiku ini betul? Aku buntu. Aku tidak dapat melepaskan perasaanku kepada keluarga dan sahabat rapat kerana semua orang tahu betapa kasihnya kami antara satu sama lain, betapa kami adalah pasangan yang menjadi contoh kepada mereka. Ya Allah sakitnya menanggung seorang diri. Terlepaslah juga kepada beberapa orang yang benar-benar rapat denganku. Selepas kejadian itu, aku tidak rasa kasih sayang dan cinta kami akan sama seperti dulu lagi. Suami berulang kali meminta maaf, aku meihat suami menggagahkan diri melakukan solat di tengah malam hampir setiap malam, mungkin menyesali apa yang telah dilakukan ke atas perkahwinan kami. Aku cuba menerima semula suamiku walau jauh di dalam diri ini, luka masih berdarah, perasaan benci masih mekar segar. Suami cuba mengambil hatiku dengan pelbagai cara agar aku dapat menerima dirinya kembali. Aku lewati fb perempuan itu hampir setiap hari sebagai reaksi yang aku tidak dapat menerima perlakuannya merosakkan rumahtanggaku. Aku memang telah memaafkan engkau walaupun kelihatannya seperti akulah yang merosakkan kebahagiaamu, tetapi aku tidak akan sama sekali melupakan apa yang pernah kau buat padaku. Aku hanya berharap suatu hari nanti Allah akan melenyapkan ingatanku terhadap peristiwa hitam yang pernah kau bawa dalam hidupku.
Kisah 2. Belum hilang rasa sakit dihatiku atas apa yang telah suamiku lakukan terhadap perkahwinan kami, belum habis aku berfikir sama ada untuk meneruskan hidup dengannya atau pergi dari hidupnya, tiba-tiba Allah kirimkan satu lagi ujian kepadaku. Abang mengidap penyakit kanser hidung tahap 3. Apakah semua ini, wahai tuhanku? Adakah ini ujian untukku atau adakah ini merupakan cara Engkau menghapuskan dosa-dosa kami. Aku tidak ada peluang untuk menenangkan diri, tiba-tiba aku diuji lagi. Tidak tahu apalah perasaan perempuan itu terhadap diriku. Bila abang menjalani rawatan, aku sentiasa disisi menemaninya, melalui hari-hari penderitaannya akibat kesan radioterapi dan kimo...sungguh sedih. Aku ketepikan perasaan benciku terhadap apa yang telah dia lakukan kepadaku sewaktu dia dipuncak kejayaan. Aku cuba memberi yang terbaik kepadanya agar dia sedar bahawa akulah perempuan yang paling layak bertakhta dihatinya. Aku bersama-sama dia sewaktu dia tidak punya apa-apa. Aku berkorban wang ringgit untuk membantunya yang sering kesempitan wang. Aku menyokong dia di kala dia dihimpit ujian...aku sentiasa ada disisinya di saat suka dan dukanya. Bila mengingatkan kembali bagaimana dia tergamak melayani perempuan itu....aku jadi sedih. Itulah perkataan yang mampu aku ucapkan. Aku sedih, sehingga saat ini aku masih sedih. Aku sedih kerana kanvas kebahagiaan rumahtanggaku telah dicalit dengan warna hitam, ditoreh pisau yang amat tajam. Aku sedih kerana dia kalah dengan godaan hawa nafsu...dan tidak berfikir panjang ketika mengambil keputusan melayan perasaan seorang perempuan yang tidak bahagia dengan suaminya. Aku sedih kerana dia yang sanga aku sayangi, yang amat aku hormati bukan dia yang pernah aku kenali sebelum ini. Walau apa juga cara dia lakukan, kanvas perkahwinan kami sememangnya telah cacat kekal yang sukar untuk dipulihkan. Namun aku tetap akan teruskan kehidupan bersamanya melihat anak-anak membesar dan menjadi insan. Semoga apa yang berlaku kepadaku tidak akan terjadi kepada anak-anakku, semoga sejarah tidak berulang lagi.
Aku pasrah kepadamu Ya Allah. Aku cuba memahami apakah hikmah di sebalik ujian-ujian ini. Aku masih belum bertemu jawapan yang aku cari. Namun, kini hatiku telah kembali tenang (Biar ada ketika bisikan jahat masih menerjah ke telingaku). Aku yakin jalan di hadapanku semakin lapang dan kurang rintangan kerana Allah sentiasa memimpin aku, Allah memberi aku kekuatan dan ketabahan untuk terus hidup dengan suamiku, terus menyemai kasih sayang, terus membina kebahagiaan masa hadapan bersama. Aku harap 2012 akan membawa harapan yang lebih cerah kepada kehidupanku, akan meningkatkan lagi kerukunan rumahtanggaku, dan mengeratkan lagi kasih sayang kami antara satu sama lain dan kepada anak-anak yang diamanahkan oleh Allah kepada kami. Buatmu abang, terima kasih kerana menjadi suamiku, terima kasih kerana memberiku sejuta pilu, namun kau seorang suami yang aku dambakan...kau seorang suami yang aku impikan, seorang yang penyayang, bertanggungjawab dan begitu menghiburkan. Terima kasih abang kerana melayan aku dengan baik selama ini, walaupun ketika kau berlaku curang kepadaku...terima kasih sayang.
No comments:
Post a Comment