Salam
Hari ini genaplah 16 tahun usia perkahwinan kita. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, tahun ini amat bererti sekali buat diriku. Tahun ini berlaku tragedi yang menguji usia perkahwinanku. Kalau tidak kuat imanku, kalau aku ikutkan perasaan kecewa dan marahku, pastinya sudah tidak ada lagi ulangtahun perkahwinan kita ini. Pastinya kita masing-masing telah membawa haluan masing-masing...Syukur kehadrat Allah yang sentiasa menyayangi kita, yang tidak mahu kita bercerai berai akibat peristiwa yang begitu melukakan hatiku. Mungkin berkat doa yang kita panjatkan kepadaNya...berkat doa ibu bapa dan anak2 kita. Juga berkat kasih sayang kita selama ini.
Rasanya baru sahaja kita bertemu, memadu kasih, menaiki jinjang pelamin, membina kehidupan daripada tiada apa-apa sehingga ke tahap ini. Pantas sungguh masa berlalu. Mungkin aku tidak perasan tentang peredaran masa kerana kau tidak pernah berada jauh dari sisiku. Bersamamu begitu membahagiakan biarpun ada ketika kau buat aku menangis dengan sikapmu yang 'kurang sensitif' terhadap perasaanku. Semenjak kita kahwin sehingga kini, itulah sikapmu yang sukar untuk aku betulkan. Aku cuba memahami dan memujuk diri, kerana aku tahu kau tidak mampu memenuhi semua keinginanku...tapi kau juga tahu aku bukan isteri yang meminta dimandikan dengan kemewahan, sebaliknya aku sentiasa bersamamu di saat kau susah dan senang. Namun demikian, aku akui kita bukanlah semurna. Cinta kita juga tidak sempurna. Sedangkan mencintai Allah kita masih boleh melakukan dosa, inikan pula menyintai manusia.
Sayang
Enam belas tahun bersama, kita tidak pernah terlepas walau sehari untuk mengucapkan rasa cinta melalui ungkapan 'I love U', sehingga ramai rakan-rakanku sudah mengetahui tentang keromantikan kita. Aku amat berbangga dengan cara kita, sekurang-kurangnya ia boleh memberi contoh kepada pasangan-pasangan lain untuk melakukan perkara yang sama. Kata-kata seindah itu, tidak mahal harganya,tetapi sangat bermakna untuk seorang isteri. Harapanku biarlah kitakan terus mengucapkannya tanpa jemu selagi ada hayat kita.
Suamiku tercinta
Subuh tadi tatkala aku bertanya padamu apakah saat yang paling bermakna kepadamu, kau jawab banyak saat yang begitu bermakna dalam hidupmu, apakah saat yang paling membahagiakan, kau jawab ketika menimang cahaya mata, apakah yang paling kau kesalkan, kau jawab sikapmu yang bersalah kepadaku. Terima kasih atas jawapan yang tulus dan ikhlas, sayang. Bagiku yang paling bermakna dan membahagiakan adalah memilikimu sebagai kekasih dan suamiku. Aku tidak pernah kesal dijodohkan denganmu. Aku terlalu menyintaimu. Aku terlalu sayang padamu. Sebab itu, tatkala hatimu berpaling dariku, aku tidak dapat menerima kenyataan itu dengan hati terbuka. Aku terluka. Aku dikecewa. Tapi aku percaya, kalau boleh mengundurkan masa, kau pasti akan membetulkan kesilapanmu yang kecundang dengan godaan syaitan, kau pasti akan pertahankan keimananmu untuk tidak berlaku curang kepadaku. Aku masih percaya padamu, biarpun luka itu hanya aku sahaja yang merasakannya. Aku sudah memaafkanmu. Lima bulan aku berduka, menangisi apa yang telah kau lakukan kepadaku. Tapi, itu semua sudah aku terima sebagai kenangan, biarpun episod hitam itu tidak akan terpadam dari diari hidupku.
Sayang
Hari ini genaplah perkahwinan kita yang keenambelas tahun. Aku berdoa kepada Allah agar kehidupan kita dirahmati dan dilindungi dari perkara-perkara yang boleh merosakkan keharmonian rumahtangga kita. Aku berdoa agar Allah menunjukkan kita jalan yang diredhai, agar dapat kita sama-sama meniti hari-hari mendatang dengan penuh keberkatan, diberi cahaya keimanan kepada kita dan dilapangkan rezeki untuk kita agar dapat kita beribadah kepadanya dan berbakti kepada keluarga dan insan lain dengan lebih sempurna. Semoga kasih sayang abang terhadapku dan anak-anak semakin mekar, semoga abangkan menjadi suami dan ayah yang terbaik buat kami.
Selamat Ulang tahun perkahwinan kita. I love u forever. Thank You Allah for giving such a nice man to my life.
Isterimu
No comments:
Post a Comment