Alhamdulillah...tak sangka impian yang suatu ketika dulu sukar untuk aku capai, kini akan berlaku tidak berapa lama lagi. Sungguh benarlah kata teman dan saudara, perkara yang baik, jika kita sentiasa berdoa, akan Allah permudahkan. Mudah-mudahan. Bila mengingatkan kembali, azam ini aku pasang sewaktu diri diuji bertimpa-timpa. Waktu itu aku benar-benar menderita. Jiwaku sedang luka berdarah, perasaan wanitaku dicabar oleh kisah yang meruntun jiwa, aku seakan tidak mahu meneruskan kehidupan tatkala berhadapan dengan perkara yang tak tercapai akal fikiran...bukan mudah aku menerima kenyataan itu...sehingga hari ini, ada ketika aku akan merenung wajah suamiku mencari jawapan kepada persoalan yang tidak mungkin boleh memadam kedukaan. Aku akan bertanya kenapa, mengapa, aku akan mencari di mana silapnya...padahal aku tahu itu semua tidak akan memberi apa-apa makna lagi kepadaku. Bukan mudah, bukan mudah untuk menerima suamiku seperti dahulu dan berkata dia jujur kepadaku. Itu tipu!!!! Tapi aku perlu singkirkan juga ingatan jahat yang sering bermain-main di fikiran, mengganggu perasaanku sehingga aku murung. Aku perlu renung jauh ke dalam mata suamiku, dia benar-benar sudah insaf, dia benar-benar sudah menyesali apa yang pernah terjadi, dan dia sedang berusaha mengembalikan semula kepercayaanku kepadanya...dia sedang menebus dosanya, dan tidak adil bagiku untuk terus-terusan menghukum dirinya...
Ya Allah, semoga engkau terima hajatku untuk melupakan kisah silam yang merosakkan keimananku, berilah aku kekuatan untuk terus menyayangi suamiku, tolonglah kembalikan kepercayaanku kepadanya, jadikanlah kehidupan kami lebih bermakna dan disirami dengan kasih sayang, dan terangilah perjalanan hidup kami dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan. Hanya kepadaMu tempat aku mencurahkan segala yang terbuku di dalam diri ini, hanya Engkau yang maha mengerti dan kepadaMu tempat aku mengharapkan pertolongan.
No comments:
Post a Comment