May 6, 2012

Bila diri disayangi - kisah makcik Zainab 3

Sebelum ke airport, kereta kami singgah sebentar di hotel untuk melihat kalau-kalau rombongan sudah bertolak ke airport. Entah mengapa hatiku jadi marah...aku seperti tidak mahu bertemu dengan semua jemaah di hotel kerana merasakan mereka tidak langsung mengambil berat tentang aku yang seharian menjaga makcik Zainab. Aku jadi marah kepada ustaz kerana tidak mencari alternatif menguruskan makcik Zainab, sedangkan aku juga antara jemaah yang mengikuti rombongannya, yang kebajikannya perlu dijaga. Perasaan tidak puas hati timbul akibat terlalu letih dan tertekan dengan apa yang aku lalui seharian di Sri Lanka. Beberapa ujian yang aku lalui sepanjang tempoh mengerjakan umrah tidak sehebat apa yang aku lalui sepanjang hari berada di Sri Lanka. Allah maha mengetahui apa juga yang kita tidak ketahui. Dulu sebelum berangkat, atas nasihat ustaz, kami telah membayar tambahan sebanyak RM600 untuk penginapan di bilik sendiri (tidak berkongsi), tapi sepanjang di Madinah dan Mekah kami tidak diizinkan Allah untuk tidur sebilik. Kami redha, Kami tidak merungut, kerana kami tahu bukan mudah untuk menguruskan jemaah seramai 50 orang. Kami merasai nikmat yang paling indah tatkala berjalan berdua-duaan ke masjid mengerjakan ibadah, hatiku sentiasa senang di samping suamiku...syukur kupanjatkan kepada Allah Taala kerana memudahkan pekerjaan ibadah kami di Madinah dan Mekah. Inilah yang dinamakan ujian Allah untuk hambaNya yang menziarahi Baitullah. Aku tidak diuji di Madinah dan di Mekah, tetapi diuji di Sri Lanka... Besar sangatkah ujian ini? Entahlah susah hendak aku katakan. Tidak sebesar mana jika dibanding dengan Makcik Zainab yang tiba-tiba ditarik keupayaan kaki dan tangan kirinya sehingga terhalang daripada meneruskan pekerjaan umrahnya. Bagi aku itu ujian yang amat berat. Kalut memikirkan mengapa tiba-tiba tangan dan kaki tidak boleh bergerak, tidak berdaya menguruskan diri sehingga terpaksa bergantung kepada ikhsan rakan-rakan sebilik dan jemaah lain sepanjang masa sebelum kembali ke tanah air. Ya Allah, ampunkanlah hambaMu ini yang tidak tahan dengan sedikit ujianMu...yang menjadi marah kepada orang lain sedangkan Engkau telah memilihku untuk menjaga makcik Zainab atas pengetahuanMu yang maha luas. Ampuni aku Ya Allah...

Tekanan yang aku lalui menyebabkan aku tidak melayan sapaan teman-teman sewaktu singgah di hotel. Tidak lama kemudian, kereta yang kami naiki meninggalkan hotel kerana kami perlu menguruskan makcik pula di airport. Syukur suami ada di sampingku. Syukur suami ada disisi menenangkan perasaanku, memberi aku sokongan moral dan mengambil berat terhadap aku dan makcik Zainab. Alhamdulillah...semenjak suamiku muncul di hospital petang itu, aku sudah dapat mengawal diri. Itulah diriku...manja dan sangat bergantung kepada suami. Terima kasih Allah.

Sampai di perkarangan airport, 2 orang petugas membawakan kerusi roda ke arah kereta. Seorang petugas membantu kami menyusuri laluan mudah untuk sampai ke balai berlepas...tiba-tiba kami berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Laluan kami menjadi semakin sepi...rupa-rupanya kami dibawa bertemu dengan airport doctor...Sekali lagi kami perlu menyediakan jawapan kenapa membawa seorang perempuan tua yang uzur dan tidak berupaya ini menaiki kapal terbang. Aku katakan kepada doktor makcik sakit, kurang tenaga dan dimasukkan ke hospital untuk diberi rawatan. Tentang keadaan 'stroke' makcik, aku katakan itu sudah berlaku lebih awal tanpa pengetahuanku (berbohong untuk menyelamatkan keadaan)..Doktor memeriksa tekanan darah makcik, alhamdulillah...okay! Kami terus ke balai berlepas. Bertemu dengan rombongan. Kakak-kakak yang pernah tinggal sebilik dengan makcik menghampiriku bertanyakan khabar...aku terharu walaupun masih ada rasa marah kepada mereka. Kata Kak Salmah, mereka cuba mencari aku di hospital pada tengahari untuk meggantikan aku tetapi aku telah bertolak ke Hospital Colombo. Oh itu rupanya yang berlaku. Semuanya berlaku di luar dugaan. Aku rasa bersalah kepada mereka...aku terlalu mengikut perasaan marahku. Mereka terus mengambil makcik dariku. Selepas itu, aku ke bilik air untuk menukar pakaian, kemudian aku dan abang ke cafetaria berhampian untuk membeli sedikit makanan buat makcik dan kami. Rupa-rupanya makcik mencari aku sepanjang ketiadaanku disisinya. Aku berikan roti dan jus oren seperti yang diminta makcik. Rakan-rakan mula menghampiri bertanyakan khabar, ada yang mengucapkan perkataan yang baik2 kepadaku atas apa yang telah aku lakukan kepada makcik....Berakhirlah kisahku dengan makcik Zainab...kisah yang akan aku kenang sepanjang masa.

Beberapa hari selepas kembali dari menunaikan umrah, aku cuba menghubungi ustaz untuk mengaturkan pertemuan dengan makcik. Terkilan bila diberitahu anak2 makcik tidak membawa makcik ke hospital, hanya berubat melalui kaedah rawatan islam Darul Syifa. Aku tidak akan berbuat begitu kalau itu ibuku...tapi manusia tidak sama, anak-anak juga tidak sama. Aku ada menghantar sms kepada anak makcik yang tinggal di Semenyih mengatakan aku ingin bertemu makcik. SMS ku tidak dijawab. Namun aku menerima pesanan ringkas dari ustaz untuk membawa aku berjumpa makcik pada pagi ahad esoknya. Gembira hati bukan kepalang, perasaan marah dan terkilan pada anak makcik lenyap seketika. seawal jam 8.30 pagi kami berkumpul di surau Seksyen 4 Tambahan untuk konvoi ke Semenyih. Malangnya dalam perjalanan ustaz memberhentikan kereta di satu kawasan. Ustaz maklumkan kepada kami bahawa makcik telah dihantar pulang ke Bukit Mertajam oleh anaknya semalam. Sekali lagi aku terkilan. Mengapa anaknya tidak menjawab smsku semalam dan beritahu aku yang dia telah menghantar ibunya pulang...susah sangatkah? besar sangatkah permintaan aku? Tidak terfikirkah yang menghantar sms ini ialah orang yang pernah menolong ibumu semasa di Sri Lanka? Aku bukan mahu mengungkit, tetapi sedikit kecewa dengan sikap manusia yang langsung tidak berusaha untuk mencari orang yang pernah menolong ibunya. Bukan minta ucapan terima kasih, tapi jumpalah untuk bertanyakan keadaan ibu sewaktu dalam jagaanku... Dengan perasaan kecewa aku menghantar SMS kepada anaknya mengatakan hajatku yang tidak kesampaian...sebentar kemudian anak lelakinya yang tinggal di Semenyih menghubungi aku..Katanya memang ada terima SMS aku tetapi tidak suka membalas SMS...tawar hatiku mendengar penjelasan dari anak makcik. Tiada rasa bersalah. Sudahlah pujuk abang...nanti bila ada kelapangan kita terus jenguk makcik di Penang. Terima kasih abang kerana memahami perasaanku..Biarpun abang sendiri tidak sihat, abang masih ingin menemukan aku dengan makcik.

Tidak berapa lama selepas itu, aku terima sms dari ustaz yang mengatakan makcik Zainab ingin berbual denganku. Segera aku hubungi beliau di  Bukit Mertajam. Ternyata dia sangat gembira berbual denganku. Keadaannya masih tidak boleh bergerak, katanya... 2 kali kami berbual melalui telefon. Kata-katanya yang tidak dapat aku lupakan: Rozi sayang...makcik sayang Rozi..sayang sangat... Apa yang boleh aku katakan? Aku terharu, aku tahu ini adalah rahmat Allah untuk kami. Allah pertemukan makcik dengan aku. Aku yang selalu beralah dengan orang tua... aku yang tidak sampai hati melihat nasib orang tua tidak terbela. Mungkin hasrat aku untuk mengerjakan umrah tepat pada masanya... aku bersyukur dapat berbakti pada seorang perempuan tua yang tidak ada pertalian darah denganku...tetapi kuanggap sebagai seorang ibu. InsyaAllah makcik, satu hari nanti kami akan menziarahi makcik. Semoga Allah panjangkan umur makcik dan memberi makcik kesihatan yang baik untuk terus beribadah kepadaNya..Maafkan Rozi makcik andai ada kekasaran bahasa dan perbuatan ketika menjaga makcik di Sri Lanka.

No comments:

Post a Comment