August 15, 2011

Jangan Ambil Jalan Mudah

Pertemuan kita sebentar tadi, walaupun sangat singkat sudah cukup membuatkan fikiranku terusik dengan apa yang keluar dari mulutmu wahai adikku. Bukankah aku telah berjanji untuk meluangkan masa mendengar ceritamu...namun pertemuan sebentar tadi bukanlah apa yang aku maksudkan. Aku mahu duduk denganmu, mendengar kisah hatimu...membantu mengurangkan tekanan yang sedang kau tanggung di sebalik senyuman manismu.

Aku tahu ketika ini kau sangat menderita, tapi seperti mana yang aku ingatkan kau tadi, jangan sekali-kali berkongsi kisah dukamu dengan lelaki, lebih2 lagi seorang yang masih menjadi suami orang. Berkongsi cerita dengan suami orang, khususnya yang berperwatakan baik dan memberi perhatian kepada luahan kita sememangnya menenangkan... tapi itu bukanlah yang terbaik. Cinta itu buta, cinta tak mengenal siapa. Bermula dengan kasihan, simpati akhirnya kemungkinan jatuh hati pasti akan terjadi. Lebih parah lagi, kau mungkin akan melakukan perkara-perkara keji di luar batasan... Pada ketika itu, tergamakkah engkau melihat kebinasaan keluarga si lelaki, melihat bagaimana isteri dan anak2nya merayu dan meratap agar si suami kembali semula ke pangkuan keluarga. Tidakkah kejam tindakan meruntuhkan kebahagiaan orang lain sedangkan kau sendiri sudah merasai betapa deritanya hidup dengan seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Jangan sesekali adikku. Kalau kau perlu berkongsi cerita, ceritalah kepada seorang teman wanita yang boleh kau percayai. Jangan cari wanita yang menambah minyak ke dalam api. Namun yang paling afdal nasihatku, kau yakin dan percayalah kepada Doa. Berdoa dan berbicara kepada Ilahi, kerana Dia maha Mendengar dan maha Mengetahui. Ingatlah, ujian Allah bukan untuk menyusahkan hambaNya, kita diuji kerana Allah mahu lihat sejauh mana kita masih memerlukanNya.

Kau seorang yang cantik, kalaulah kau memilih untuk berpisah dari suamimu kerana sikapnya yang tidak mahu berubah... nasihatku, kau fikirlah masak-masak. Kau senaraikan apa kelebihan dan kekurangannya, apa kesannya kepada kau dan anak2 jika bersama atau berpisah. Aku percaya soal wang bukanlah suatu yang kau bimbangkan kerana selama inipun engkau yang menguruskan perbelanjaan rumah tangga. Tapi ini soal perasaanmu, kehidupanmu. Kau jangan peduli perasaan dan pandangan orang lain, fikirlah apa yang terbaik untukmu dan anak2mu. Buatlah istikharah dan mohonlah petunjuk Allah.

Secara peribadi, aku tidak akan memilih untuk berpisah dengan suamiku kerana selepas menimbang semua sudut, aku pasti suamiku adalah yang terbaik untukku, dan apa yang berlaku dalam melayari bahtera perkahwinan kami baru2 ini adalah suatu ujian yang menguji keutuhan cinta kami. Suamiku bukanlah seorang yang sempurna, tapi dia adalah sandaranku.

Berbalik kepada soal dirimu, aku tidak menghalang kalau kau memilih untuk berpisah dengannya, TETAPI fikirlah masak-masak, adakah kau bersedia untuk hidup sendiri... adakah kau ingin segera mengisi kekosongan hati walaupun terpaksa menjadi isteri kedua... atau kau akan lebih berhati-hati dalam mencari pengganti. Percayalah dalam keadaan sedih, fikiran bercelaru, dan diri didatangi seorang lelaki yang sedia mendengar cerita pilumu, pasti kau akan mudah untuk jatuh hati kepadanya. Kau yakin dia benar-benar menyayangimu? Kau yakin kau boleh bahagia hidup bermadu? Fikirkanlah... Adakah kau tidak serik dengan pengalaman bersama suamimu, adakah kau bersedia untuk meruntuhkan rumahtangga orang lain, adakah kau yakin lelaki tersebut boleh menjamin kebahagiaanmu, memberimu perlindungan, menyara makan pakai kau dan anak2mu...dan dapat berlaku adil kepadamu dan keluarganya. Jangan sampai kau berfikir untuk menyuruh dia menceraikan isterinya, itu lebih kejam dan tidak berhati perut. Fikirkanlah.

Kita sudah melalui kehidupan berumahtangga, kita banyak mendengar dan membaca kisah kepincangan rumahtangga orang lain, adakah itu semua tidak cukup untuk menjadi pengajaran kepada kita. Kalau kau memilih juga untuk berpisah dengan suamimu dan memulakan hidup baru, aku cadangkan kau beri ruang untuk dirimu mendapatkan semula kebebasan, lantaran katamu kau menyesal berkahwin pada usia yang sangat muda. Beri peluang untuk bebas dari seorang lelaki... besarkan anak2mu dengan baik, dekatkan diri dengan Allah, dan sentiasalah berdoa kepadaNya "andai ada jodoh baru, biarlah lelaki itu kelak dapat mengembirakan hatimu, dapat menjadi payung tempat berteduh, dan doalah agar Allah mempermudahkan bagimu dalam melalui liku2 hidup membesarkan anak2 seorang diri, tanpa suami disisi".

Percayalah, banyak lelaki di luar sana yang suka mengambil kesempatan.. ada yang dengan niat ada juga yang secara tidak sengaja. Cinta itu buta, selagi namanya manusia, orang alim pun boleh terpesona... Jangan kau gadaikan maruahmu demi menagih cinta seorang lelaki. Bukan mudah untuk mengharungi hidup dengan lelaki... ramai lelaki yang sudah tidak pandai menjalankan tanggungjawabnya seperti sunnah nabi.

Kalau kau tidak berfikir semasak-masaknya, percayalah kelak kau pasti akan menangis lagi... mengapa harus menyakiti diri??? Kau masih muda, kau masih cantik, binalah masa hadapan dengan lebih berhati-hati. Apa yang berlaku, jadikan pengajaran, pengalaman pahit yang kau tanggung jangan dibiar berulang. Berdoalah kepada Allah kerana Dia yang maha mendengar, maha mengerti dan maha mengasihani... Aku sebagai kakak, hanya mampu mendoakanmu, aku bersedia untuk mendengar, ceritalah kepadaku..insyaAllah aku membantu semampuku...

Akhirnya aku juga berdoa agar kau dapat membuat keputusan yang terbaik demi masa hadapanmu dan keluargamu.

No comments:

Post a Comment