September 24, 2011

Takdir itu bukan kita yang tentukan

Terkejut juga mendapat berita M kini sedang sakit dan menjalani pembedahan. Terbayangkan kisah tahun lalu. Pada suatu hari dia menghubungi aku, dengan nada suara yang lembut dan romantis, memberitahu aku dia rindu kehadiranku dan rindu mendengar suaraku. Lelaki! Getus hatiku, biar muka kacak, budi pekerti tiada bandingan, penampilan menawan...masih mahu menguji lautan dalam. Menggeletar aku mendengar, tapi aku buat tak faham seolah2 itu gurauan walaupun keterlaluan. Malam yang sama dia menghantar sms kpdku dan aku jawab ala kadar. Cepat2 aku deletekan smsnya takut dibaca suami tersayang. Takut suami salah faham dan rumah tangga kami berantakan. Ada sekali dua dia hubungi aku selepas itu dan aku buat layan tak layan. Alhamdulillah dia faham masejku dan semenjak dari itu tidak pernah mendapat perkhabaran darinya. Tiba2 hari ini dengar dia tidak sihat. Cerita ini berlaku sama waktu suamiku menipu aku. Waktu dia juga asyik berhubung dgn wanita lain. Mungkin jodoh kami masih kuat, suami telah kembali kepangkuanku. Aku terima biarpun apa yang terjadi tidak mungkin dapat diterima dengan mudah oleh wanita lain, hatta bekas teman wanita suamiku. Memang sedih, terasa bodoh, terasa lemah dan tidak berdaya. Kalau dikira, jika aku melayan M sudah tentu puas hati sebab masing2 mahu mencari keseronokan diri. Tapi aku memikirkan masa depan, aku memikirkan tentang nasib anak2ku, dosaku kepada suamiku, kepada isteri dan anak2 M. M mempunyai sebuah keluarga yang bahagia. Saat itu aku terfikir pada usia 40an masih laku lagi aku ini. Rupanya dalam aku berkira-kira dosa pahala, suami sudah leka dgn kata manis perempuan lain.

Bila aku tahu kecurangan suami, bila aku jumpa segala bukti.... Aku terasa dunia kami sudah tidak beerti. Terlalu pilu, tetapi si perempuan boleh kata dia pernah rasa apa yang aku rasa. Lalu aku tertanya-tanya, kalau kau pernah rasa apa yang aku rasa, mengapa kau tergamak menghancurkan hati wanita lain. Sepatutnya kau menjaga maruahmu dari melakukan apa yang suamimu lakukan kepadamu. Sudah berlalu semua itu. Nasi sudah menjadi bubur, masa yang lepas tidak akan kembali. Jawablah masing-masing atas perbuatan sendiri. Bukan suami sahaja kesal dgn kelalaiannya, tapi aku sebagai isteri juga kesal kerana ini berlaku pada rumahtanggaku.

Andai aku melayan M dan masih terus menjalin hubungan dengannya, pasti saat ini aku akan berhadapan dgn 2 lelaki yang sakit. Pasti akhirnya kedua-dua lelaki akan kembali kepada isteri yang setia dan yang telah dikhianati....Saat ini, masing2 akan bergantung harap kpd isteri masing2 untuk memberi sokongan dan melayan keperluan. Kalaulah waktu itu aku sudah mabuk kasih dengan M, sudah tentu aku bersedih kerana tidak dapat menjaga M. Jika perhubungan terlarang itu diketahui isteri M, tidak pasti dia masih terus di sisi atau meninggalkan M, lantaran sikap curang suami yang pijak semut tak mati dan alim depan mata. isteri mana yang tidak hancur hati melihat suami yang seperti malaikat rupanya bersikap luar biasa di belakang.

Aku sudah memaafkan suami, aku tetap disisinya walau luka di hati masih berdarah lagi. Aku pujuk diri, aku muhasabah diri, aku cuba mencari ketenangan dengan cara sendiri. Inilah yang aku pelajari. Takdir bukan kita yang tentukan, kita ada pilihan untuk terus menerima takdir itu, atau ambil keputusan mengubah takdir itu. Tapi takdirku yang nyata ialah aku terlalu menyintai lelaki yang aku kahwini ini. Aku terlalu percaya kepadaya.

Terfikir satu soalan, di saat ini, jika perhubungan suami dgn I masih berterusan, adakah I akan simpati? Adakah I akan berkorban untuk suamiku? Apa yang dapat I lakukan? Cinta terlarang yang indahnya sementara. Adakah aku akan terus2an tertipu. Cantik perjalanan kisah cinta orang lelaki. Diberikan sebuah keluarga yang bahagia, diduga dengan wanita lain perosak kebahagiaan kami. Kau kalah. Kau leka dibuai dunia. Allah membuka tembelangnya ketika aku hamil anak kelima, aku kecewa, menangis dan tertekan sehingga janin tidak menjadi. Engkau menyesali apa yang terjadi, aku terima dirimu semula dengan keikhlasan hati, biar hatiku sudah kau simbah dengan api, sudah kau hancurkan tanpa belas kasihan. Pada ku kau ungkap kata sayang, cintamu padaku tidak pernah tersisih... apa ertinya ucapan itu, aku cuma berharap ia benar dan tulus dari hatimu. Kepercayaanku padamu sudah kau kikis, bagaimana dapat aku terima semuanya dengan mudah.

Elok selepas itu, Allah mengujimu dengan sakit...dan untung semuanya berlaku selepas aku memaafkanmu. Untung pada saat doktor mengesahkan penyakitmu, aku ada bersama untuk berkongsi kedukaanmu. Aku pasrah, aku redha...ujian yang bertimpa-timpa ini untuk diriku...aku kena kuat. Apa yang berlaku ini adalah kisah rumahtangga yang dilalui oleh banyak wanita. Kalau ada yang membaca kisah ini, aku tidak pasti sama ada kau dapat memahami apa yang aku lalui.

Aku doakan abang dan M akan tabah menghadapi ujian Allah, semoga disembuhkan segera penyakit masing-masing.

No comments:

Post a Comment