Sahabatku, terima kasih atas kunjungan kau ke pejabatku tengahari semalam. Terima kasih kerana mengingatkan aku tentang perlunya aku berada disisi Ajib dan menemaninya menjalani rawatan. Terima kasih kerana memarahi aku yang masih belum berdikari, dan masih terus-terusan bergantung kepada suamiku. Aku tahu, aku salah...aku sepatutnya mengambil cuti panjang untuk bersamanya. Tapi aku sudah berjanji kepada Ajib, selepas konvokesyen aku akan memohon cuti panjang bagi menemaninya menjalani rawatan. Sememangnya hati dan perasaanku tidak berada di pejabat. Aku sentiasa mengenangkan Ajib, apa keadaannya, makan apa dia hari ini, bolehkah dia menelan, bagaimana kesihatannya. Sebab itu kalau boleh aku hendak pergi menemaninya setiap pagi ke UH, tapi keadaan pada masa ini seperti tidak memberi ruang kepada aku. Aku terima nasihat kau, untuk apa aku fokus kepada kerja kalau keadaan suamiku tidak diuruskan dengan baik. Aku tahu, tapi aku ada tanggungjawab... sekejap je lagi, selepas 8 Oktober. Aku ada berbincang dengan Ajib mengenai cadanganmu, tapi Ajib masih mahu aku terus bekerja. Engkau pun faham bagaimana sifat Ajib. Dia tidak mahu aku lihat dia seolah-olah sakit yang melarat, dia seorang yang kuat semangat, dia mahu kehidupan diteruskan seperti biasa. Percayalah, setiap waktu, doaku sentiasa mengiringi suamiku, aku pohon kepada Allah agar diampunkan dosanya, diterima taubatnya, diringankan bebanan kesakitan yang ditanggung suamiku, disembuhkan penyakit suamiku agar kami dapat menikmati hari-hari ceria seperti dahulu. Aku amat terasa perubahan yang berlaku. Kehidupan kami agak suram ketika ini. Aku pasrah dan redha. Sememangnya keadaan Ajib semakin memerlukan perhatian, percayalah aku cuba yang terbaik tatkala aku berada di rumah, di sampingnya. Aku takut sebenarnya, tapi aku perlu positif.
Aku akan berdikari, aku akan berdikari....percayalah pada aku. Terima kasih Ima, menjadi sahabat sejati aku di saat suka dan duka. Menangis bersama aku dalam keadaan aku sering dilanda ujian. Engkau faham bagaimana perasaan aku ketika ini...doakanlah sahabatmu ini. Aku memerlukan engkau walaupun semalam aku cakap, apa2 yang berlaku, aku tidak akan menyatakan kekesalanku kepadamu...Apa-apa yang akan berlaku, aku terima sebagai takdir yang telah tertulis buatku.
Aku bersyukur kerana didampingi keluarga, sahabat karib dan suami yang sentiasa menyokong aku ketika aku diuji. Aku insan yang sangat bertuah. Aku sangat bersyukur.
Thanks sahabat, my bff.
Rozi
No comments:
Post a Comment