Semalam aku sudah mula ke pejabat selepas hampir satu bulan bercuti untuk menemani abang sepanjang rawatan radio-kimo di PPUM. Berat rasanya hendak meninggalkan abang di rumah mengisi susu sendiri melalui tiub. Walaupun kesihatan masih lemah, abang gagahkan diri membawa bapanya ke Kuang untuk melakukan perubatan alternatif melalui secara islam di Pusat Rawatan Islam Manarah (Dr. Jahid Sidek). Semoga bapa menemui keserasian dengan kaedah perubatan itu. Semoga bapa berupaya menggerakkan anggotanya yang telah lama 'berehat' mengharapkan kudrat emak untuk membantunya menguruskan diri. Kasihan emak yang sudah tua. Umur emak sudah 67 (kalau tak silap), bapa 72. Bapa dah 10 tahun kena 'stroke', dan selama itulah emak menjaga dan menguruskan bapa. Aku harap kali ini bapa akan dapat bergerak ke kamar mandi sendiri, mandi, berhadas dan mengambil wuduk sendiri. Aku harap semangat bapa akan kembali pulih dan bapa akan lebih dekat dengan Allah. Semoga ada 'jodoh'nya dengan cara perubatan ini.
Abang maklumkan kepada aku bahawa dia muntah selepas mengambil susu, mungkin perut sudah masuk angin kerana lewat minum. Mulut dan tekak mula sakit semula, dan dia agak keletihan lantaran perjalanan yang jauh dan meletihkan. Namun, dia anak yang baik. Dia tidak mengeluh, cuma kelihatan letih dan tidak sihat. Emak faham keadaan abang. Emak seboleh-bolehnya tidak mahu abang merawat bapa sekarang, kalau boleh katanya biarlah selepas abang sendiri sihat. Abang mahu bapa sihat. Kalau bapa sihat ia boleh meringankan bebanan emak dalam menguruskan bapa.
Sewaktu pulang dari kerja kulihat abang diam dan tidak ceria. Berbelah bagi untuk bermesra-mesra dengannya. Dia ok ke? tak okay ke? Aduh susah nak dijangka. Waktu aku menjamah makan malamku, abang mengisi sendiri susu ke dalam tiub. Terlepas peluang untuk melayan abang, mungkin dia sudah lapar dan tidak mahu menyusahkan aku. Waktu tidur, tidak banyak yang dapat aku bicara dengan abang. Abang kelihatan gelisah tidak menentu. Aku rapatkan diri berbaring di sebelahnya dan bertanyakan keadaan dirinya. Sedih melihat keadaan abang. Aku bisikkan kepadanya 'zie rindu abang' 'cepat baik abang, zie rindu abang'....dia mengusap wajahku...
Tengah malam beberapa kali abang terjaga membuang air liurnya. Aircon yang dipasang sudah cukup menggigilkan aku dan Nurin, tapi abang masih keresahan. Semoga Allah mempermudahkan abang untuk melalui ujian ini. Aku amat merindui suasana ceria ketika abang sihat dulu. Keceriaan yang tidak pernah menampakkan sebarang perbezaan walaupun telah ada perubahan pada dirinya yang tatkala itu sudah terperangkap dalam dilema yang tiada penghujung. Mujur Allah membuka mataku untuk menyedarkan abang. Semoga abang cepat sembuh.
No comments:
Post a Comment