December 6, 2011

Semakin positif

Alhamdulillah, rupanya kelukaan yang aku alami mengambil masa hampir 5 bulan untuk dirawati. Biarpun parutnya masih ada, biarpun lukanya sesekali berdarah, namun aku pasrah dengan ketentuan Allah. Maafkan aku wahai tuhanku kerana terlalu sukar untuk menerima ujianMu dengan redha. Aku terlalu kerdil untuk menongkah ujian yang Kau berikan kepadaku. Sebagai manusia, hambaMu yang lemah, aku sentiasa memohon rahmatMu dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Aku memohon kepadaMu agar kau berikan aku ibu bapa yang penyayang, anak-anak yang baik dan menyenangkan, rakan taulan yang prihatin dan menghiburkan....aku peroleh. Aku mohon seorang suami yang baik, yang beriman, yang boleh membimbing dan melindungi aku, yang sentiasa menyayangi dan jujur kepadaku...kau uji. Aku sedih, aku menangis, aku menyesali...namun bila aku diberi waktu untuk menatap wajahnya tatkala dia tidur, diberi kesempatan melihat senyumannya tatkala dia bangun dari tidur, melihat ketulusan dia berdoa tatkala di penghujung malam, melihat dia melayani aku dalam keadaan kepayahan, tidak pernah memarahi aku atau menunjukkan kebosanan terhadap aku biarpun tatkala dia sedang terpesong kepada wanita lain...membuat aku berfikir masak-masak. Membuat aku rasa tenang dan lapang. Sesungguhnya aku perlu memaafkan suamiku dengan tulus. Aku perlu memberi suamiku peluang kedua. Aku percaya dia tidak akan persiakan hidupku selepas ini. Aku percaya dia telah mendapat hidayah Allah, dan sedang berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Biarlah hendaknya fikiranku semakin positif. Biarlah hendaknya ingatanku kepada kesedihan lalu beransur pudar. Aku sudah menerima suamiku biar sebesar mana dosanya kepadaku, dan aku mohon kepada Allah agar mengampunkan suamiku dan menerima taubatnya biar sebesar manapun dosanya kepada Allah. Wahai tuhan, Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, kau berilah kami cahaya keimanan agar dapat kami melalui ranjau kehidupan ini dengan ketaqwaan dan keredhaan. Berilah kami kasih sayang agar kami sentiasa menyayangi dan menghargai di antara satu sama lain selama-lamanya. Bukan mudah melalui tempoh 5 bulan itu...bukan mudah. Aku harap semua akan mengerti.

No comments:

Post a Comment