Hatiku semakin berdebar-debar menantikan saat untuk menjadi tetamu Allah...
"Itu tandanya kau sedang excited!" Ima melontarkan pandangannya ketika aku suarakan perasaanku dalam perjalanan pulang dari kerja. Entahlah Ima...memang sukar untuk digambarkan. Hati berasa sayu, sedih, dan takut... bukankah aku sepatutnya merasa gembira kerana telah menerima undangan dari Allah untuk mengerjakan ibadah umrah? Mungkinkah perasaan yang aku lalui ini sama dengan tetamu-tetamuNya yang lain? Hakikatnya, perasaanku bercampur-campur. Aku hamba Allah yang lemah lagi banyak dosa. Masih banyak amalan baik yang belum aku lakukan, malah masih banyak dosa yang sedang aku lakukan. Hatiku masih belum cukup bersih dan ikhlas, hatiku sering membisikkan perkara-perkara yang boleh mengundang perasaan kecewa, marah, buruk sangka. Aku berusaha untuk menghilangkan perasaan-perasaan jahat dengan membanyakkan berzikir dan berdoa memohon kepada Allah agar mengampunkan dosa-dosaku, memberi aku kesabaran, kesyukuran dan redha atas apa yang berlaku. Aku mohon ketenangan dariNya agar aku dapat melalui hari-hariku dengan penuh ketaqwaan dan dengan rendah hati. Aku takut andai perasaan bukan-bukan (negatif) ini akan terbawa-bawa ketika aku menunaikan ibadah umrahku kelak. Astaghfirullah hal'azim. Ya Allah, lindungilah hambaMu yang lemah ini. Suamiku berpesan supaya aku lakukan perkara lain yang boleh mengalih fikiranku kepada perkara-perkara yang negatif. Terima kasih abang atas pesananmu...InsyaAllah...
Persiapan untuk ke sana juga belum dilakukan lagi. Minggu lepas balik ke Melaka, ambil beg besar dan kain ihram. Minggu depan barulah ke kedai untuk mencari pakaian2 yang sesuai untuk dipakai di sana.
Kami bercadang menjemput saudara dana jiran2 membaca Yaasin dan doa selamat di rumah pada 25 Februari 2012, jam 3.30 petang. Asalnya abang bercadang hendak adakan pada malam Jumaat di Surau Ibnu Sina, tapi aku tidak berapa setuju. (1) keadaannya tidak sama dengan mengadakannya di rumah, (2) mungkin saudara mara tidak dapat berkumpul sama, dan perlu diadakan sekali lagi pada 25hb, (3) Jika malam Jumaat tersebut abang pulang kerja lewat, bukankah tidak manis mengadakan kenduri sedangkan tuan badan tidak hadir di Surau pada malam berkenaan. Apa juga keputusannya aku akan terima, aku tidak mahu bertengkar mengenai perkara baik ini. Akhirnya abang bersetuju untuk mengadakan di rumah. Moga-moga mendapat keberkatan Allah.
Seronok bila dengar ramai di kalangan rakan2ku yang akan turut mengerjakan umrah: Min (sedang mengerjakan umrah), Azie, Fauza, Salmi, Kak Ani...Ya Allah terima kasih kerana menjemput kami. Terima kasih kerana membuka hati aku dan suamiku untuk mengerjakan umrah. Terima kasih Ya Allah, kalau tidak kerana ujian sedih yang kau berikan kepadaku, mungkin pada hari ini aku masih belum membuat sebarang perancangan untuk menjadi tetamumu. Mungkin aku tidak akan bercongak-congak memikirkan di mana perlu mendapatkan wang bagi mencukupkan hasrat untuk ke sana. Mungkin aku masih leka untuk memikirkan perkara-perkara yang tidak mengingatkan aku kepada KaabahMu. Memang suatu keajaiban. Ada benarnya kata Ustaz Khairul, bila hati sudah berdetik, itu tandanya Allah telah menjemput kita, dan Dia akan permudahkan urusan kita. Ya Allah, berilah kami rezeki yang banyak, yang diberkati lagi halal. Sihatkanlah dan berkatilah kesihatan mental dan fizikal kami, berilah kami keupayaan untuk mengerjakan ibadah umrah dengan sempurna. Ya Allah, berilah kami peluang untuk memohon ampun dan maaf sebanyak-banyanya kepadaMu ketika berada di sana dan terimalah taubat kami, berilah kami peluang dan kenikmatan untuk melakukan sebanyak-banyak ibadah kepadaMu dan terimalah ibadah kami wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, dan kelak bila selesai kami mengerjakan umrah, kau bukakanlah pintu rezeki dan laluan untuk kami terus ingin datang lagi melakukan ibadah haji dan umrah. Ya Allah, banyak doa yang ingin aku panjatkan kepadaMu buat diriku, suamiku, ayah dan ibu kami, anak-anak kami dan adik-beradik kami... Berilah kami hidayahMu, dan bimbinglah kami ke jalan yang diredhaiMu Ya Rabbi.
Ada yang memesan tetapi aku terpaksa memberitahu aku tidak berjanji, kerana aku takut tidak terbawa pesanan dan kiriman saudara dan rakan di sini ketika berada di sana kelak. InsyaAllah aku akan doakan agar muslimin dan mulismat diampunkan dosa oleh Allah Taala, dan dijemput menjadi tetamuNya. Ya Allah maafkan aku andai menjadi kesalahan bagi diriku untuk tidak berjanji kepada mereka yang memesan.
Semoga urusan visa dipermudahkan Allah, semoga aku tidak mengalami keuzuran dalam tempoh berada di Madinah dan Mekah. Semoga Allah mempermudahkan urusan umrah kami, memberi kami umrah yang mabrur. Amin
No comments:
Post a Comment