February 21, 2012

Warkah mama

Assalamualaikum wbth anak-anak mama yang dirahmati Allah

Tatkala mama menulis bicara hati mama ini, masa hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum mama dan baba berangkat ke kota suci Mekah dan Madinah. Kota suci di mana semua umat islam bercita-cita untuk hadirkan diri bagi menunaikan ibadah haji dan umrah. Menunaikan rukun islam yang kelima. Kali ini mama dan baba menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan umrah. Pertama kali. Gementar perasaan mama mengingatkan persiapan diri yang mama dan baba lakukan untuk menjadi tetamu Allah. Cukupkah? itulah yag sering berbisik dalam hati mama. Masih banyak kurangnya...Mama mendengar pelbagai kisah dan pengalaman orang yang pernah ke sana, namun ramai yang menasihatkan supaya mama berserah dan bertawakal kepada Allah. Ya, itu yang sedang mama dan baba lakukan.

Minggu ini mama dan baba sudah mula sibuk menyediakan keperluan untuk di bawa ke sana. Untuk anak-anak yang akan mama tinggalkan,mama tidak lupa menyenaraikan apa makanan yang perlu mama sediakan untuk anak-anak selama ketiadaan mama dan baba. Mama akan titipkan belanja pada abang Luqman, untuk digunakan ketika perlu. Mama akan tinggalkan buku perubatan, andai ada yang sakit, minta tolong Makcik Faizah bawakan ke klinik panel mama. Mama tidak mahu memikirkan sangat tentang rindu yang akan menyapa kita kelak. Mama kena kuatkan hati ketika berada di sana. Mama harap anak-anak juga akan kuatkan hati ketika kita berjauhan. Ingat pesan mama, kalau kita rindu, kita doakanlah antara satu sama lain. Mama harap dapat menumpukan perhatian untuk melakukan sebanyak mungkin ibadah yang mama mampu, dengan keizinanNya. Mama mahu banyak berdoa kepada Allah yang maha Esa untuk keluarga kita, untuk baba & anak-anak. Mama sangat bersyukur dikurniakan suami dan anak-anak yang membahagiakan dalam kehidupan mama ini. Walaupun bukan murah harga untuk mengekalkan kebahagiaan itu...hanya baba, mama dan Allah sahaja yang tahu!

Luqman yang mama kasihi

Kebajikan adik-adik, mama amanahkan kepada Luqman. Sayang mama, jagalah Eirfan, Iekhsan dan Nurin dengan penuh kasih sayang. Tegur mereka dengan kelembutan, sebagaimana baba menegur kalian. Jika mereka bergaduh atau berbuat salah, janganlah gunakan kekerasan dalam mendidik mereka, ingat pesan mama, sayang adik beradik...Luqman anak sulung, kalau ditakdirkan Allah menjemput mama dan baba kembali ke rahmatullah, Luqman adalah insan yang akan menggantikan kami dalam membesar dan mendidik adik-adik. Mama bukan mahu menakut-nakutkan Luqman, hakikatnya mama juga takut seandainya ia berlaku...tetapi itu fitrah manusia, setiap yang hidup pasti akan mati. Mama tidak mahu membebankan Luqman dengan tanggungjawab yang berat, cuma mama harap, Luqman akan menjadi seorang abang yang sayang kepada adik-adik, dan memberi tunjuk ajar yang terbaik untuk mereka. Mama percaya pada Luqman.

Anak-anak mama

Maafkan mama di atas segala kesalahan mama ketika membesar dan mendidik kalian. Mama sangat sayang anak-anak mama...setiap hari ada sahaja pengalaman yang kita tempuhi bersama, ketawa, menangis, gembira dan duka. Kita punyai sebuah keluarga yang bahagia. Mama ada suami yang penyayang (moga-moga baba dapat memenuhi tanggunjawab sebagai seorang suami yang sempurna suatu hari nanti), anak-anak ada baba yang memahami. Baba sentiasa di sisi memberi kita kasih sayang dan sokongan...mama selalu mendoakan agar kalian mewarisi sifat lemah lembut dan penuh kasih sayang baba kepada mama... Baba memang hebat. Anak-anak juga hebat. Alangkah bertuahnya mama.

Anak-anak mama

Mama sedar, cara didikan mama biarpun memanjakan kalian, ada ketikanya sangat tegas. Ada ketika mama meninggikan suara, ada ketika tangan mama ringan menyentuh tubuh kalian, ada ketika mama membiarkan kalian berjuraian air mata tanpa belas kasihan...mama minta maaf. Mama akui ada ketika mama silap membuat perhitungan, dan hukuman yang diberikan tiada kewajaran. Mama hanya manusia biasa, naluri mama mahukan anak-anak menjadi insan yang mulia, berbudi pekerti, beriman, berjaya di dunia dan akhirat. Maka atas dorongan itu, kadang-kala mama membuat tindakan tegas atas apa yang mama fikirkan baik, dan kadang kala mama bertindak tanpa usul periksa dan tidak mendapatkan pandangan sebenar dari anak-anak...sekali lagi maafkan mama. Bukan mudah menjadi seorang mama, sayang... Mama juga manusia biasa yang tidak lepas dari diuji...

Anak-anak mama: Eirfan, Iekhsan & Nurin

Sayangi abang Luqman iye sayang. Kejauhan kita kelak mama harap akan menjadikan kalian lebih menghargai antara satu sama lain. Hormati abang, dengar nasihat abang... bayangkan abang seperti mama dan baba. Dialah yang akan membantu mama dan baba menjaga kalian ketika mama dan baba jauh di perantauan. Eirfan dan Iekhsan jangan selalu menyakat Nurin. Jangan biarkan adik kita selalu menangis...dia satu-satunya adik perempuan kalian. Ajar dia perkara yang betul...

Seperkara lagi yang ingin mama pesan: hormatilah bibik. Dialah yang akan membantu menjaga makan minum, persekolahan, sakit kalian ketika ketiadaan mama. Ingatlah jasa bibik sayang. Jika bibik tegur kesilapan anak-anak, janganlah disimpan di dalam hati, mama percaya bibik sayang kalian seperti anak-anaknya sendiri.

Anak-anak yang mama sayangi, jangan lupa mengerjakan solat. Solat itu tiang agama, solat itu mendekatkan diri kita kepada Allah. Mintalah apa juga yang kalian mahukan tatkala berdoa kepada Allah, InsyaAllah doa kalian akan dikabulkan, Allah Maha Mendengar, Allah Maha Penyayang dan Allah Maha Mengasihani. Allah sentiasa di sisi kita, Dia tahu apa yang terlintas di dalam hati kita, oleh itu sentiasa ingat pada Allah sama ada di kala gembira ataupun berduka. Jagalah kehormatan kalian anak-anakku, jagalah kehormatan adik Nurin. Ingat dosa yang Allah berikan kepada kita andai kita tidak menjaga ibadah dan kehormatan kita...Semoga Allah memberkati hidup kalian, melindungi perjalanan hidup kalian, memurahkan rezeki kalian, memberi kalian kesihatan yang baik, budi pekerti yang mulia, menambahkan ilmu dunia dan akhirat kalian, memberi kalian kejayaan di dunia dan di akhirat. Semoga kalian dikasihi dan disayangi oleh mereka yang mengenali kalian. Allah, lindungilah anak-anakku. Semoga Allah menjadikan anak-anak mama hambaNya yang soleh dan solehah...Amin. Bantulah mama untuk mencapai doa ini. Ingat doa sahaja tidak mencukupi. Anak-anak wajib berusaha, berdoa dan menyerah diri kepada Allah.

Sayang Mama

Banyak lagi yang mama ingin catatkan dalam warkah ini. Banyak lagi luahan hati mama yang ingin dikongsikan dengan kalian. Mama terlalu sayangkan kalian. Sesungguhnya mama bersyukur di atas kurniaan Ilahi yang amat bermakna ini. Andai ada kesempatan untuk kita berkumpul semula selepas mama dan baba kembali dari mengerjakan ibadah umrah, mama berharap agar cahaya keimanan akan terus menerangi kehidupan kita. Mama berharap kita akan lebih dekat dengan Allah. Semoga rahmat Allah memayungi perjalanan hidup kita, semoga kita mengecapi kebahagiaan ini di dunia dan di akhirat.

Wasalam.

Sayang selalu

Mama
21022012

No comments:

Post a Comment