25 Disember 2006
Assalamualaikum wbth abang yang dihormati,
Terlebih dahulu
S ingin mengucapkan terima kasih kepada abang kerana sudi membaca luahan hati
isteri (yang bakal dilepaskan) yang pernah berada di bawah lindungan abang
hampir 10 tahun perkahwinan kita. Abang, S benar-benar tidak menyangka panas
yang diharap hingga ke petang rupanya terhalang dek kerana hujan ribut yang
turun di tengahari. Biarpun S berdoa agar apa yang sedang dilalui ini hanya
mimpi dan ujian tuhan yang tidak akan menjadi kenyataan serta matahari akan
muncul semula, namun ternyata doa abang dan bakal isteri abang lebih kuat dan
didengari. Atau mungkin juga Allah ingin menolong mengeluarkan S daripada
kehidupan berpura-pura abang. Pada S segalanya telah jelas, harapan untuk
bersatu semakin jauh selepas keintiman abang dan E dikeluarkan dalam akhbar dan
selepas mendengar pengakuan abang mengenai kekurangan S di hadapan kakak-kakak
S.
Mungkin jika tiada kehadiran E dalam hidup abang, S akan terus merasa diri inilah yang terbaik buat abang sementelah kita telah berkahwin atas dasar cinta dan dikurniakan M dan D bagi melengkapkan kebahagiaan rumahtangga kita. S tidak sangka dengan kehadiran E, baharulah abang berani berterus terang mengatakan perkahwinan kita selama ini rupa-rupanya telah menyeksa hidup abang sedangkan S selama ini telah berusaha memastikan dapat membantu abang dalam susah dan senang pelayaran hidup kita.
Bagaimana S
boleh menanggung semua ini abang, adakah S seteruk yang abang gambarkan?
Adakah selama ini S tidak pernah berbuat
kebaikan kepada abang dan keluarga abang. Adakah S merendah-rendahkan martabat
dan menghinakan abang? S belikan pakaian untuk abang, S cantikkan abang dengan
harapan orang lain memandang hormat kepada abang. S tahu masalah kewangan abang
tidak kukuh lalu S selalu mencari cara untuk memastikan kebahagiaan kita tidak
terganggu oleh kerana masalah kewangan. Tapi apa yang S dapat? Abang tidak
pernah menghargainya.
Abang,
S tidak pasti
sama ada abang sedar atau tidak bahawa S selama ini amat mengharapkan kasih
seorang lelaki untuk menggantikan kasih seorang ayah. Semenjak kecil S tidak
mempunyai pengalaman untuk dididik oleh seorang yang bergelar ayah dalam sebuah
keluarga yang lengkap (anak-anak S juga akan melalui nasib yang sama tidak lama
lagi, biarpun ayahnya masih hidup lagi.) Kehidupan S hanya mengharap perhatian
dan kasih sayang daripada datuk, nenek, emak, kakak-kakak dan pakcik-pakcik
yang berada di samping S. Apabila S bertemu abang, S sangka abang akan menjadi
pelengkap kepada kekurangan itu, namun ternyata itu hanyalah mimpi indah S.
Selama ini S rupa-rupanya telah menjadi bebanan dan tekanan yang memakan hati
abang. Maafkan S. S tidak sangka abang berfikir S manja dan mengongkong hidup
abang akibat salah didikan dan abang mengesahkan pula dengan mengatakan ada
ahli keluarga abang yang tidak menyukai S dan mereka ini memanggil abang
‘lembik’ dan ‘takut isteri’. S tahu sebagai lelaki, ego abang tentunya tercabar. Bagaimana pula abang
membela S di hadapan mereka? Abang yang meminta S bersabar dengan tohmahan
mereka seolah-olah abang memahami penghinaan yang S lalui namun rupanya abang
tidak mampu dan S terpaksa memakan penghinaan tersebut. Di manakah kebaikan S
selama ini? Siapakah yang selama ini mengingatkan abang supaya menelefon emak
di kampung? Siapakah menantu (bukan anak pulak tu) yang mempelawa emak untuk
tinggal bersama selepas pemergian arwah ayah? Siapakah
yang mengingatkan abang supaya menjenguk emak di kampung, biarpun sekejap?
Siapakah yang mengirim wang kepada anak buah abang untuk diberikan kepada emak
di kampung untuk menutup masalah kewangan abang? Dimanakah ucapan terima kasih
abang?
Sudahlah S sudah
penat memikirkan tentang kita, cerita yang tidak akan ada kesudahan yang baik.
S ambil maklum niat abang untuk melepaskan S dengan alasan seperti berikut:
(1)
S tidak menghormati abang
(benarkah bang?);
(2)
S tidak menghormati keluarga
abang (benarkah bang?);(3) S tidak mahu bermadu dan kalau dirujuk kes ini ke mahkamah, abang akan menghadapi masalah mengahwini E kerana kemampuan kewangan abang;
(4) Abang mengasihani E kerana dia tidak mendapat suami yang baik seperti abang;
(5) Abang mengasihi dan mencintai E dan muktamad memilih dia sebagai pengganti S dalam hidup abang, pendek kata abang telah menemui perempuan yang abang cari selama ini.
Baiklah, S pun tidak mahu merayu agar abang meninggalkan E, kerana E adalah pilihan abang dan melepaskan S adalah jalan terbaik yang abang boleh fikirkan. Namun demikian S minta abang jalankanlah tanggungjawab zahir abang terhadap kami selagi S belum diceraikan secara sah, dan selepas perceraian kita S mahu abang bertanggungjawab atas kebajikan anak-anak. Abang telah melafazkan di hadapan kakak-kakak S semalam bahawa apa-apa milik kita semasa bersama abang berikan kepada S kerana abang seorang yang bertimbang rasa dan tidak seperti ‘orang itu’ yang merampas semua harta selepas ‘menceraikan’ isterinya. Baguslah mungkin yang membezakan abang dengan ‘orang itu’ ialah abang dididik dengan ilmu agama dari kecil, abang pandai mengaji, boleh menjadi imam sembahyang dan sudah tentu abang juga arif dalam hukum-hukum agama yang lain. Semoga anak-anak kita akan menjejak ciri-ciri muslim yang ada pada abang dan tahu membezakan yang mana betul dan salah apabila mereka besar kelak.
Apabila abang sudah menemui kebahagiaan abang, jangan lupa meluangkan masa dengan anak-anak yang dilahirkan oleh S. Jangan lupa bertanyakan khabar mereka, bila mereka sakit, abang jangan lupa carikan ubat mereka, bila mereka lapar abang jangan lupa hulurkan nafkah untuk mereka, apabila mereka membesar abang jangan lupa menukar pakaian mereka. Jangan sampai mereka membenci abang, jangan sampai mereka tidak mengenali abang. Hidup ini ada permainannya dan apa-apa yang berlaku akan ada perhitungannya.
Tentang pendidikan anak-anak, S akan mendidik mereka menjadi manusia yang beriman dan berjaya. Tentang tekanan yang akan mereka hadapi, insyaAllah S akan bantu meringankan, S akan mengesat airmata anak-anak apabila mereka kerinduan, S akan menenangkan mereka apabila mereka perlukan abang.
Maafkan S, halalkan makan minum S. Semuga abang menemui kebahagiaan yang abang cari selama ini.
Wassalam.
Ya Allah, biarpun pelayaran hidupku tidak seperti S, perkahwinan kami tetap dilanda badai...Alhamdulillah Kau masih memberi nafas kebahagiaan dalam perkahwinanku...Terima Kasih Allah.
No comments:
Post a Comment