April 19, 2012

Bila diri disayangi - kisah makcik Zainab 1

Tersentuh hatiku bila Makcik Zainab Hashim menyebut 'sayang Rozi...makcik sayang sangat kat Rozi' di akhir perbualan telefon kami malam tadi. Makcik Zainab, seorang warga emas berusia 67 tahun yang aku kenal sewaktu mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac yang lalu. Walaupun dalam satu jemaah, kami hanya mesra pada waktu aku membantu Makcik Zainab melakukan tawaf, saie dan tahallul pada umrah keduanya. Sebagai seorang tua yang baru pertama kali mengerjakan umrah, dia tidak berapa pasti untuk melakukan itu ini, dan sangat teruja bila aku dan Shiela (isteri Ustaz) memimpinnya untuk menyempurnakan pekerjaan umrahnya. Ingat lagi sewaktu mengerjakan saie, beberapa kali aku dan Shiela bertanya kepadanya sama ada dia ingin rehat, minum dan memperlahankan perjalanan...namun dengan bersemangat dia menjawab, dia hendak masih bertenaga dan seronok melakukan umrah bersama-sama kami...

Pada waktu makan tengahari, rakan sebiliknya memaklumkan makcik tidak berapa sihat dan sedang berehat di dalam bilik. Mereka membawa makanan untuknya ke bilik. Wajah kakak-kakak yang menjadi rakan sebiliknya sentiasa tenang. Baiknya mereka... Aku dan Shiela sama-sama berbisik...Makcik keletihan agaknya, tidak sihat...mungkinkah kita paksa dia untuk berjalan laju semasa saie? Selepas dari hari itu kami tidak bertemu. Rakan-rakan sebilik makcik tidak membawanya ke Masjidil Haram kerana keadaannya yang tidak berapa sihat. Pada suatu petang kami dikejutkan dengan berita yang makcik jatuh dalam bilik air dan bahagian kiri kaki dan tangannya tidak bergerak...kena stroke! Mendengar khabar sedemikian sedikit sebanyak mengganggu emosiku, namun aku masih tidak sempat menjengoknya kerana kesibukan dengan urusan sendiri... Pada suatu petang aku dan Shiela menziarahi makcik di bilik...kasihan makcik. Dia kelihatan sangat uzur dan tidak terurus. Di lantai bilik terdapat longgokan kecil najis di sana sini, air kencing di hadapan pintu bilik air, dan pakaiannya juga agak tidak bersih. Aku memegang tangannya dan bertanya keadaannya...Dia mengeluh sedih "Apa sudah jadi dengan makcik ni Rozi...makcik dah tak boleh angkat tangan dan gerakkan kaki kiri" Sedih aku mendengarnya.."Sabar iye makcik, Allah uji hambaNya berbagai-bagai. Ini bukan sahaja ujian untuk makcik, ini juga ujian untuk anak-anak makcik, ujian untuk kami, khususnya rakan-rakan sebilik makcik". Pandanganku bertemu dengan pandangan kakak-kakak yang sabar menerima keadaan makcik. "Makcik kena banyak bersabar, dengar cakap kawan-kawan...jangan susahkan mereka. Mereka nak buat ibadat. Makcik duduk diam-diam dalam bilik, jangan bergerak2 nanti jatuh"...itulah antara ungkapan yang aku katakan kepadanya. Makcik Zainab tunduk sayu..."Rozi jaga makcik iye? Makcik nak duduk bilik Rozi....", rayunya kepadaku. "Makcik... bukan saya tak bagi makcik duduk dengan saya tapi...saya selalu tidak ada dalam bilik. Rozi selalu ikut suami ke masjid, jadi kalau Rozi tak ada dalam bilik siapa yang nak jaga makcik...makcik duduklah dengan kawan-kawan makcik, diorang nilah yang banyak membantu makcik...".

Sebelah malam aku bincang hal makcik dengan suamiku. Suamiku menawarkan diri untuk membawa makcik ke masjid dengan menaiki wheel chair. Tersentuh hati melihat keikhlasan suamiku yang ingin membantu dan tidak pernah mementingkan diri sendiri. Lalu aku bincangkan dengan Shiela. Malan terakhir di Mekah, Ustaz, suamiku, Sham dan Zaki berganding bahu membawa makcik ke masjidil haram untuk dia menatap kaabah buat kali terakhir sebelum kami berangkat ke Jeddah meninggalkan bumi Allah yang penuh nostalgia ini. Makcik memang sudah nampak uzur. Segala pakaian dan bekalannya diuruskan oleh rakan-rakan sebiliknya. Sebagai manusia, mungkin ada yang merungut, tapi apa yang boleh dibuat. Makcik tidak berdaya, dia tidak minta jadi begitu, bukan dia sahaja diuji...

Kelibat makcik tidak kelihatan di Jeddah Airport, mungkin dilayan oleh Ustaz atau rakan-rakan sebiliknya sewaktu di Mekah. Ketika berada dalam perut kapal terbang Sri Lanka Air, makcik duduk bersebelahan Sham, manakala aku dan abang duduk di kerusi belakang bahagian tengah kapal terbang. Makcik hanya tidur sepanjang perjalanan. Tatkala pramugari menghantar makanan, Sham menguruskan makanan dan menyuapnya ke dalam mulut makcik. Terpampang keikhlasan di wajah Sham. Semoga Allah mengampunkan dosa Sham atas perbuatannya berbuat baik kepada orang tua yang tidak berdaya, itu doaku untuk Sham.

Kami sampai di Sri Lanka pada awal pagi. Tak sempat solat subuh. Masing-masing di bawa ke hotel terdekat untuk transit, maklumlah penerbangan balik ke Malaysia adalah pada jam 11.30 malam. Ada juga cadangan untuk membawa jemaah bersiar-siar di sekitar bandar pada jam 10 pagi. Di hotel kami diatur 3 orang sebilik. kunci terakhir adalah untuk aku, Diana dan sepatutnya isteri ustaz yahya, tapi disebabkan isterinya (terlupa pulak namanya) mengalami migrain yang sangat kuat, maka dia telah berpindah ke bilik ustaz yahya, dan tinggalkah aku berdua dengan Diana yang sedang sarat mengandung 6 bulan. Kami dimaklumkan yang kami diletakkan di bilik jemaah yang sedang sakit. Tersentak kami dibuatnya. Kenapa tiada orang yang duduk dengan makcik Zainab? Memang tidak ada orang yang hendak dengan makcik, atau masing-masing telah memilih rakan sebilik tanpa mempedulikan makcik. Kalau aku,  Diana dan isteri ustaz yahya duduk sebilik, adakah itu bermaksud makcik Zainab akan tinggal seorang diri sehingga lewat malam? Tak apalah, aku redha. Aku tidak salahkan mereka, itu hak mereka sebagai jemaah. Diana tidak selesa dengan aturan yang dibuat. Maklumlah dia sendiri sedang berbadan dua, dan perlu pula sebilik dengan makcik yang sedang sakit. Waktu kami masuk ke dalam bilik, makcik baring di atas katil seperti tidak sedarkan diri. Begitu lemah keadaannya. Bagi menghilangkan kepenatan, aku dan Diana bermalas-malasan di atas katil kami masing-masing sambil berbual-bual kosong. Diana menyuarakan rasa tidak puas hati atas apa yang terjadi, tapi kataku..."Tak apalah Diana, makcik pun bukannya menyusahkan kita. Dia cuma tidur jer tu. Nanti waktu makan saya akan uruskan dan bila nak bertolak balik nanti saya akan tukarkan lampin. Diana jangan risau"... Tidak berapa lama kemudian, pintu kami diketuk. Rupanya Ustaz hendak membawa makcik ke hospital. Melihat ustaz seorang diri menguruskan makcik, aku mempelawakan diri untuk menemankan ustaz ke hospital. Suamiku dan seorang jemaah wanita yang lain mengikuti kami ke hospital.

Mulanya kami bawa makcik ke hospital swasta, tetapi doktor meminta kami membawa makcik ke hospital kerajaan kerana keadaan makcik yang sangat lemah ketika itu. Sampai di hospital kerajaan, aku yang boleh berbahasa Inggeris telah menguruskan prosedur kemasukan ke hospital, dan bila makcik diletakkan dalam wad, aku diminta menemaninya manakala yang lain-lain diminta keluar dari wad. Keadaan wad begitu daif, jauh berbeza dari hospital Sabak Bernam! Pesakit-pesakit kebanyakannya warga emas. Makcik diberikan bantuan air garam untuk mengembalikan kesegaran badannya yang sudah lemah longlai. Katil di mana makcik ditempatkan tidak dibekalkan dengan bantal. Bila makcik mengadu sakit belakang, aku boleh faham keadaannya yang terpaksa tidur di atas tilam keras tanpa bantal. Mujur ada seseorang yang menghulurkan cadar. "Rozi bangkitkan makcik, makcik nak duduk....sakit belakang makcik"' itu keluhan makcik Zainab. Aku dudukkan tetapi tidak lama kerana aku sendiri tidak berdaya untuk menyokong makcik terlalu lama. Aku letih dan tidak selesa (tidak mandi lebih 24 jam, dengan berpakaian jubah...) Pergerakan makcik juga mungkin boleh menyebabkan jarum drip ditangannya tertanggal, dan ini akan menyakitkan beliau.

Tatkala abang dan ustaz datang sekali lagi ke hospital membawa sarapan pagi untukku...aku hanya lalu untuk menjamah sekeping roti. Selebihnya aku berikan kepada penghuni katil sebelah. Ada dua biji oren yang aku bawa dari Jeddah juga aku sedekahkan kepada penjaga-penjaga pesakit. Mereka kelihatan seronok melihat orang asing dari Malaysia ini begitu ramah kepada mereka. Mungkin itu sikap semulajadiku....mudah mesra dengan sesiapa jua tanpa ada prasangka. Seronok melihat mereka membahagi-bahagikan limau sesama mereka.

Makcik lapar, makcik haus, belakang makcik sakit...begitulah perkataan yang sesekali keluar dari mulut makcik. Kebanyakan masa, makcik akan tidur. Kasihan aku melihat keadaannya, tetapi aku sendiri tidak berdaya membantunya. Tidak lama kemudian, jururawat memasang beg air kencing pada tubuh makcik. Sakit..sakit, makcik meronta-rontakan kakinya..aku tidak kuat untuk membantu jururawat mengangkangkan kaki makcik, jururawat pula langsung tidak menunjukkan keinginan untuk membantuku... begitulah keadaan di hospital ini. Memang jururawat tidak semesra di negara kita. Bila aku fikirkan, patut mereka-mereka yang tidak bersyukur dengan taraf perkhidmatan hospital kerajaan di Malaysia diletakkan di hospital ini agar mereka tahu bersyukur dan berterima kasih! Dalam aku berseorangan membuka kaki makcik yang kuat meronta menahan kesakitan, datang beberapa rakan membantuku. Syukur Alhamdulillah...berkat aku berbuat baik dengan mereka, mereka juga ringan tulang menghulurkan bantuan kepadaku. Kerja jururawat yang kasar menyebabkan air kencing makcik terkeluar dari beg. Selepas dibetulkan penutup beg air kencing, jururawat berlalu pergi tanpa mempedulikan air kecing yang berciciran di bawah katil. Aku melihat keliling untuk mencari mop, dan seorang penjaga pesakit mencadangkan aku mendapatkan bantuan cleaner. Cleaner datang membawa mop yang berlumut dan hitam...mop dan terus pergi, tanpa mengesahkan kebersihan dan 'hygiene'...errr, memang rasa loya. Tapi ini adalah keadaan hospital yang jauh ketinggalan dari segi kemudahan...sabar jerlah. Aku yang keletihan tersenguk-senguk duduk di sisi makcik. Bila beg air kencingnya penuh, aku pindahkan ke dalam bekas untuk dibuang. Semasa mencuci tangan, seorang perempuan menghulurkan glove supaya aku menggunakannya... terima kasih kataku.

Di hospital ini aku belajar erti persahabatan. Aku belajar erti berdikari. Aku belajar bahawa aku ini selalu bergantung kepada suami untuk hampir semua perkara... aku manja, aku dimanjakan! Di sini...aku berhadapan dengan seorang makcik yang tidak ada pertalian darah denganku, seorang makcik yang lemah dan tidak kesah apa yang orang lakukan kepadanya...yang tidak tahu apa yang sedang berlaku disekelilingnya. Kasihan aku pada makcik ini. Terasa berdosa padanya bila sesekali permintaannya tidak aku peduli. Ada ketika aku paksa makcik supaya jangan lemahkan diri, "makcik kena kuat, kita nak balik ke Malaysia malam ini", ujarku dengan keras.."kalau makcik lemah, kita tak boleh keluar hospital..makcik nak tinggal seorang? Rozi nak balik..." aku pura-pura merajuk. "Makcik nak balik...makcik nak balik katanya...Rozi jangan tinggalkan makcik", rayunya. Terasa jahat sungguh diriku memperlakukan sedemikian terhadap orang tua yang tidak berdosa itu. Aku mementingkan diri kerana aku tidak sabar untuk pulang ke Malaysia berjumpa dengan anak-anakku. Bila lihat wajah makcik yang sedang tidur, aku berdoa kepada Allah sekiranya ibuku berada dalam keadaan ini hendaknya orang yang menguruskan ibuku akan dapat menjaga ibuku dengan baik dan penuh belas kasihan. Sedih hati membayangkan jika dihadapanku ini ibuku.

Sebelum jam 12 tgh, doktor memaklumkan kepadaku untuk memindahkan makcik ke Colombo Hospital bagi menjalani CT-Scan. Tekanan darah dan bacaan gula makcik stabil, dan pemeriksaan lanjut perlu dilakukan ke atas bahagian kepala makcik. Aku diminta menandatangani surat persetujuan. Bagaimana aku hendak memaklumkan kepada Ustaz mengenai perkara ini...aku mencari akal. Lalu aku dengan selambanya meminta izin seorang pelawat untuk menggunakan telefon bimbitnya bagi menghubungi pihak Hotel. Mujur nombor telefon hotel tercatat pada bekas sarapan pagi yang dibawa abang pagi itu...syukur dapat memaklumkan kepada pihak hotel...sekurang-kurangnya mereka tahu yang aku dan makcik akan berpindah hospital.....

No comments:

Post a Comment