Abang mungkin tidak sedar akan apa yang sedang bermain dalam fikiranku kebelakangan ini. Bila aku sering menanyakan ke mana kita nak pergi cuti ni? Jom jalan-jalan tenangkan fikiran...sebenarnya sedikit sebanyak jiwa aku sedang kacau. Mungkin disebabkan kerja pejabat yang menekankan diriku, atau mungkin melihat abang yang telah banyak berubah....berubah ke jalan yang diredhai Allah, membuat hati kecilku berkata-kata.
Ada ketika aku bertanya pada diriku, andai rumahtanggaku tidak dilanda ujian yang maha dahsyat pada tahun lalu, 2 Julai 2011, itulah tarikh keramat yang meruntun seluruh hati dan perasaanku...andai pada ketika itu, Allah menutup pengetahuanku mengenai perlakuan suami tercintaku, mungkinkah sehingga hari ini kasih sayang suamiku tidak sekukuh kini? Mungkinkah semakin jauh dosa yang suamiku akan lakukan lagi, di samping melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah, suami, anak, bapa dan pemimpin...melalaikan dan menjerumuskan dirinya ke gerbang kehancuran...
Alangkah baiknya kalau perkahwinan kami tidak diuji dengan episod sepedih ini. Alangkah baiknya jika cintanya padaku tidak pernah dikhianati. Aku masih tidak faham, kalau cintamu padaku begitu dalam mengapa perlu diberi ruang untuk perempuan lain! Namun bila difikirkan semula...apa yang aku tidak mahu terjadi, sudah terjadi...aku tidak boleh memutarkan semula masa untuk kususun-susun cerita gembira dan kupadamkan cerita duka. Aku tidak boleh memilih jalan hidup yang aku inginkan...aku cuma boleh berdoa kepada Allah, kerana dia jugalah yang mengiya dan menidakkan apa jua permintaan hamba-hambaNya.
Ada hikmah di sebalik semua ini. Kalau tidak terjadi perkara ini, mungkin cinta kami sudah tidak ada ummphhnya lagi...mungkin aku akan terus setia tanpa usul periksa dan curiga. Mungkin abang tidak akan menyesali perbuatannya, dan kembali ke jalan Allah untuk memperbaiki diri. Mungkin abang masih hidup dalam khayalan yang memesongkan, mungkin abang tidak endah hukum hakam tuhan. Mungkin abang tidak belajar untuk menghargai sebuah perkahwinan, mungkin abang tidak bersyukur memiliki aku yang sentiasa berkorban. Kini hampir setahun peristiwa pahit itu berlaku, terdetik hatiku untuk bertemu dengan si wanita yang mewarnakan duka dalam perkahwinanku...bukan aku mahu marah kepadanya, bukan aku mahu berdendam kepadanya...aku hanya ingin melihat wajahnya, perwatakannya dan keikhlasan hatinya... Aku tahu dia juga menyesali tentang apa yang berlaku dalam hidupnya dan hidupku, aku tahu dia juga tidak mahu apa yang terjadi untuk terjadi.. aku letakkan diriku pada dirinya. perasaanku kuat mengatakan dia bukanlah seorang yang perlu aku hindari.
Aku doakan yang terbaik untuk dia dan keluarganya sebagaimana aku berharap yang terbaik untuk suamiku dan keluargaku... Semua itu sudah berlalu...
No comments:
Post a Comment