Perjalanan kami menaiki ambulan ke Hospital Colombo mengambil masa lebih kurang 1 jam. Di sini, tiada istilah 'duduk memerhati'...kita kena sama-sama membantu mengangkat stretcher aluminium (besi?) turun dan naik ambulan. Terasa sakit badanku kerana tidak pernah melakukan perkara seperti ini. Perjalanan yang panjang menyebabkan aku tersenggok-senggok kerana keletihan. Namun misi yang menemaniku tidak begitu mesra, dengan kasar dia akan menepuk-nepuk pehaku, mengejutkan aku yang terlena dan menunjukkan tangannya ke arah Makcik Zainab, minta aku menjaga orang tua itu, sedangkan makcik tidur lena di atas stretcher. Bila aku membuka mata, misi tersebut akan menutup matanya untuk tidur-tidur ayam....geram betul aku melihat gelagat misi itu. Mengenangkan aku berada jauh di perantauan....aku layankan sahaja arahannya.
Sesampai di Hospital Colombo makcik di bawa ke Tingkat 4 berjumpa dengan doktor. Sekali lagi aku terpaksa melalui prosedur yang sama...manual! Sementara menunggu doktor memberitahu aku alat CT Scan di hospital mengalami masalah, dan makcik perlu ditukarkan ke hospital bersebelahan, Central Hospital. Sekali lagi kami terpaksa mengangkat stretcher aluminium (besi?) naik dan turun ambulan, walau pun jaraknya hanya sebelah bangunan...Setiap kali mengangkat stretcher turun atau naik aku akan berdoa agar ada yang sudi membantu, namun mungkin sudah menjadi kebiasaan orang-orang di situ, buatlah sendiri. Malah pemandu ambulan juga tidak beralih dari tempat duduknya...hanya memerhati dari cermin hadapan. Kasihan juga aku kepada misi tua yang sama-sama mengangkat stretcher.
Sekali lagi aku terpaksa melalui prosedur yang sama...manual! Lama menunggu giliran. Sesakali makcik tersedar dan mengatakan kepadaku yang dia lapar dan dahaga. Aku serba salah untuk memberi makcik minum kerana dia dalam keadaan separuh sedar dan keletihan. Sesekali makcik minta untuk duduk kerana belakangnya sakit akibat terlalu lama berbaring. Aku yang dalam keletihan hanya mampu buat apa yang aku terdaya. Sewaktu dalam bilik mengimbas, aku turut membantu pekerja mengangkat makcik untuk dimasukkan ke dalam mesin pengimbas..Rasanya kalau di Malaysia, kita tidak akan dibenarkan berada dekat dengan mesin tersebut...Alhamdulillah keputusan CT SCan menunjukkan makcik tidak mengalami pendarahan dalaman. Tidak ada darah beku.
Sementara menunggu semua urusan selesai, aku menyandar di kerusi panjang. Orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut juga sesekali memandangkan kepadaku dengan pandangan yang pelik, maklumlah orang asing di hospital mereka. Aku memang sangat letih dan mengantuk pada waktu itu. Tiba-tiba aku terlihat kelibat suamiku memasuki ruangan. Ya Allah rasa macam nak menjerit dan meraung ketika itu...aku sangat terharu melihat abang bersusah payah mencari aku. Abang datang dengan Mr Kamal, agen yang membantu kami semasa transit. Aku menangis semahu-mahunya dalam pelukan abang. Aku luahkan perasaanku kepada abang, bagaimana stressnya aku sepanjang berada di hospital, dan aku ingin semua ini berakhir dengan segera. Namun apa yang abang cakapkan padaku menjadikan aku hilang sabar dan rasa hendak marah pada ustaz. Abang beritahu aku mungkin kami terpaksa menangguhkan perjalanan pulang ke Malaysia kerana keadaan makcik yang tidak mengizinkan. Mr Kamal sedang berurusan dengan Kedutaan untuk melanjutkan visa kami...aku tidak mahu! aku tidak mahu! aku penat! aku nak jumpa anak2! Ini bukan emakku! Kalau aku dan abang tinggal, aku akan tetap berada di hospital, dan abang akan menunggu aku di hotel...di mana keadilan? Mengapa tidak ada orang lain untuk menggantikan aku...sekurang-kurangnya dapatlah aku merehatkan badan dan berganti-ganti menjaga makcik dengan 'orang itu'...mengapa ustaz tak fikirkan semua itu? Itulah antara perkataan-perkataan yang aku raungkan kepada abang. Aku tidak hirau apa yang keluar dari mulutku...aku seolah-olah hilang kawalan, aku cuma ingin bebas! Aku tidak hiraukan orang sekeliling yang melihat drama yang sedang berlaku.
Melihat keadaanku yang tidak terkawal, Mr Kamal menenangkan aku dan mencadangkan kepadaku agar mendapatkan kebenaran doktor untuk membawa makcik pulang ke Malaysia. Waktu itu sudah jam 5 petang. Aku setuju. Aku beritahu doktor di Colombo Hospital mengenai hasratku itu, namun doktor tidak dapat memberi sebarang jawapan dan minta aku kembali semula ke hospital di Negombo untuk mendapatkan kebenaran. Sekali lagi kami terpaksa mengharungi perjalanan selama 1 jam ke hospital di Negombo. Suami dan Mr Kamal tidak dibenar menaiki ambulan. Misi tua telahku berikan sedkit upah, maka sikapnya yang agak 'unfriendly' sudah mula lembut...dapatlah aku melelap-lelapkan mata dalam perjalanan yang begitu panjang ke Negombo. Sampai di hospital hampir jam 7 malam. Doktor beritahu aku makcik perlu menjalani rawatan fisioterapi dan tidak pasti selama mana dia akan ditahan di hospital. Makcik tidak memerlukan ubat kerana tekanan darah, ujian air kencing dan lain2 pemeriksaan semuanya okay. Aku merayu kepada doktor..aku ulang kepada doktor, aku bukan anak makcik. Aku juga punya anak2 yang sedang menunggu aku di Malaysia. Aku akan pastikan anak2 makcik membawa makcik ke hospital untuk rawatan susulan sesampainya aku di Malaysia kelak. Doktor meminta aku membuat surat untuk membawa makcik keluar hospital atas tanggungjawab aku. Tanpa berfikir panjang, terus menyediakan surat. Aku terpaksn minta bantuan misi mencabut tiub air kencing makcik. pada mulanya misi tidak mahu dan meminta aku bawa makcik dalam keadaan sedemikian. Aku bertegas dan menunjukkan pampers yang aku bawa, dia buatlah tapi dengan muka tidak ikhlas. Terkial-kial aku memasangkan pampers makcik, mujur ada seorang dua rakan2 pagi tadi yang menghampiri memberi sokongan, walaupun mereka tidak menghulurkan tangan untuk membantu. Mungkin mereka tidak faham apa yang sedang aku lakukan pada makcik. Pada ketika itu makcik sudah boleh bercakap. Aku bisikkan kata-kata semangat kepada makcik, andai dia hendak balik ke Malaysia, dia kena kuat. Aku juga mengugut untuk meninggalkan makcik kalau makcik tidak 'tunjuk' kuat. Aku memang agak mementingkan diri sendiri pada waktu itu. Perasaan bersalah memang ada, tapi aku nekad untuk bawa makcik balik ke Malaysia. Lebih kurang jam 8 malam kami meninggalkan hospital yang penuh dengan kenangan.
No comments:
Post a Comment