May 12, 2013

Joburg - suatu catatan perjalanan 6 - 10 Mei 2013

6 Mei 2013 aku diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di bumi Allah bernama Johannesburg. Penerbangan yang dilewatkan sehari lantaran sebagai seorang warga Malaysia aku perlu menjalankan tanggungjawabku untuk mengundi bagi memilih kepimpinan yang bakal menerajui Malaysia mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada hari muka. Aku menetap di Hyatt Regency tempat yang sama di mana aku akan membentangkan secebis pengalaman dalam QS Maple 2013- 8/5/2013. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Persembahanku menarik beberapa soalan daripada peserta dan aku menjawab dengan gembira. Esoknya sebelum check out, aku bersama 7 orang peserta yang lain mengambil peluang melawati kawasan persekitaran Soweto. Tiada pemandangan yang menarik yang boleh aku kongsikan. Lukisan hidup manusia di celah-celah kehidupan yang begitu menekan, meninggalkan jurang yang mewarnai kehidupan masyarakat di Joburg. Yang kaya, yang sederhana tidak kurang yang sangat daif dan meminta-minta. Yang berkumpul di hadapan kilang-kilang menanti rezeki kalau-kalau ada yang menggamit menghulurkan pekerjaan, biarpun sebagai pencuci atau apa sahaja, asalkan mulut dapat menjamah rezeki untuk hari ini...Biar kesempitan hidup begitu ketara, namun pendidikan untuk anak2 tidak sesekali diabai ibu bapa....cantik mengenakan pinafor dengan harapan yang besar untuk mengubah hidup keluarga...semoga Allah memudahkan urusan mereka, memberikan mereka rezeki dan rahmatNya yang berpanjangan kepada hamba-hambaNya walau di mana jua kami berada. Perjalanan juga mencoretkan kenangan apabila berkesempatan melawat rumah Nelson Mandela, pejuang bangsa yang dihormati seluruh dunia, melewati kediaman Winnie Mandela (pernah suatu ketika menjadi kekuatan untuk Nelson Mandelamemperjuangkan nasib bangsanya), mengunjungi muzium apartheid dengan cerita suka duka perjuangan mereka...aku insafi kehidupanku sekeluarga, hidup aman dan damai,saling hormati masyarakat berbilang kaum dam agama....adakah ia akan berterusan atau adakah suatu masa nanti keamanan dan kedamaian anugerah Allah ini akan bertukar menjadi mimpi ngeri...aku pasrah padaMu Ya Rabbi

No comments:

Post a Comment