October 14, 2011

KeampunanNya untuk menyucikan diri

Ramai saudara dan sahabat yang sudah mengetahui tentang penyakit abang. Ramai yang mengirimkan doa dan bertanyakan khabar dan tidak kurang yang singgah menziarah. Terima kasih semua.

Tidak ada seorang pun yang tidak terkejut mendengar abang mendapat kanser hidung. Orang tertanya-tanya, apakah puncanya? Ada yang kata kifarah untuk Allah mengampunkan dosa-dosa hambaNya. Kalau inilah hukuman dunia yang dibayar 'cash' atas dosa-dosa yang lalu...bagaimanakah agaknya seksaan yang akan diterima di akhirat kelak? Na'uzubillahi min dzalik.. semoga Allah mengampunkan dosa-dosa suamiku. Ya Allah sungguh rungsing dan menakutkan andai ujian yang sama terjadi kepada diriku. Aku lihat dengan penuh keinsafan bagaimana payahnya abang hendak menelan makanan dan minuman, hatta air zam-zam yang disedekahkan oleh saudara dan sahabat. Aku melihat bagaimana air matanya mengalir kerana menanggung kesakitan akibat luka, ulcer dan bengkak pada mulut, lidah dan tekaknya. Aku melihat kesan kulit abang yang sudah mula terbakar di sekeliling leher, kesannya menggelap dan kasar. Aku melihat abang kepanasan dan kepalanya berpeluh. Aku melihat rambut abang yang sudah mulai gugur di atas bantal. Aku melihat berat badan abang yang merosot dengan mendadak dari 78kg sebelum puasa dan sekarang 66kg...kurus, cengkung dan tidak bermaya. Semua ini amat menyedihkan. Aku cuma mampu menangis. Aku hanya mampu berdoa untuk abang. Aku menenangkan abang dengan mengingatkannya supaya sentiasa bersabar dengan ujian Allah yang hikmahnya biarlah untuk menghapuskan dosa-dosa besar abang. Abang sememangnya seorang yang sangat penyabar. Syukur aku panjatkan kepada Allah kerana setakat ini belum pernah mendengar abang mengeluh, marah-marah atau menyalahkan takdir. Semoga Allah menerima dirinya dan mengampunkan dosa-dosanya. Mungkin inilah sebabnya abang terpilih melalui ujian ini... Allah mahu mengampunkan abang kerana abang seorang yang baik. Orang baik banyak dugaannya. Kadang-kadang kita tersasar sebentar dari landasanNya, namun itu adalah sifat manusia yang lemah, yang tidak terlepas dari berbuat dosa. Syukur Allah telah segera menarik tangan abang untuk diberikan hidayah, dibersihkan dari dosa-dosa lalu agar selepas sembuh nanti, abang akan sentiasa mencari jalan yang benar dan membimbing kami ke pintu syurga. Peluang untuk menyucikan dosa ini kuharap akan dilalui dengan penuh ketabahan oleh kami. Aku mahu berfikiran positif terhadap ujian ini. Biar apapun, Zie tetap sayangkan abang, dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment