October 15, 2011

Pesanan Untuk Anak-anak lelakiku

Salam Luqman, Eirfan dan Iekhsan

Sebentar tadi mama dan abang Luqman menonton siri akhir Tahajjud Cinta. Kisah seorang ustaz yang tersasar dari jalan Allah akibat tunduk kepada godaan hawa nafsu. Sungguh terkesan di hati mama dan abang. Mama sempat menasihati abang Luqman tentang penghinaan ke atas orang-orang yang melakukan maksiat. Mama bukanlah seorang yang arif tentang hukum hakam agama, namun didikan dari kecil mama amalkan agar melakukan perkara yang disuruh Allah dan menjauhi yang dilarangNya. Walau bagaimana mama menjaga pahala dan dosa, tetap ada dosa-dosa yang mama lakukan sama ada sedar atau tidak. Mama abaikan tanggungjawab kepada Allah & Rasul, mama tidak menjaga mak dengan baik, mama tidak memberi perhatian sepenuhnya kepada baba dan anak-anak, mama juga mungkin menyinggung perasaan orang lain ketika mama bercakap dan bertindak. Itu lumrah anak-anakku. Tiada manusia yang terlepas dari melakukan dosa. Yang perlu kita lakukan ialah sentiasa memohon keampunan dari Allah, sentiasa berdoa agar diberi petunjuk dan hidayah, dihidup dan dimatikan dalam keadaan islam, dipelihara dari melakukan perkara yang mungkar, dan dikuatkan iman dalam menghadapi godaan syaitan dan hawa nafsu. Pendek kata, jadikan Allah rakan setia untuk kita berbicara, untuk kita mengadu, untuk kita memohon pertolongan dan petunjuk.

Anak-anakku,

Kalian sudah semakin dewasa. Kadang-kala sudah pandai usik mengusik tentang perempuan. Hari ini mungkin belum terbit perasaan kasih dan sayang kepada rakan wanita, namun suatu hari nanti pasti akan terdetik dihati anak-anakku untuk mencintai wanita sama ada suka-suka, cinta monyet atau cinta sejati. Mama ingin berpesan, jagalah agamamu wahai anak-anakku. Wanita boleh menundukkan seorang alim seperti dalam Tahajjud Cinta untuk menempa tiket ke pintu neraka. Yakinlah, azab neraka amat pedih anak-anakku. Oleh itu, mama ingin menasihatkan kalian, seandainya sudah mula berkawan dengan budak perempuan, jagalah maruah dirimu. Jagalah pandangan matamu, jangan dilihat bahagian-bahagian yang haram dengan penuh syahwat, jangan dibiar mata bertentangan sehingga mengganggu hati mudamu. Sukar untuk mengawal nafsu apabila hati telah diganggu oleh panahan asmara. Apabila nafsu sudah tidak dapat dikawal, maka akan berperanglah iman dan nafsu untuk menghalalkan apa yang haram. Sememangnya bukan mudah untuk menewaskan nafsu, anak-anakku. Beristighfarlah jika perasaanmu kacau kerana wanita. Ambil wuduk dan bacalah Al-quran untuk mengelakkan kamu tewas dalam peperangan dengan nafsu. Ingat anak-anakku, mama dan baba cuba memberikan yang terbaik untuk menjadikan kalian manusia yang berguna di muka bumi Allah ini. Mama dan baba sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan kalian. Yang mama dan baba harapkan daripada kalian ialah: (1) jadilah hamba Allah yang soleh; (2) Cintailah dan hayatilah agama islam agar kau dapat menjadi manusia yang berguna ketika hidupmu (3) jaga maruah diri agar tidak terdorong melakukan maksiat; (4) jagalah adikmu Nurin agar maruahnya terpelihara; (5) hormatilah baba dan mama selagi hayat kami dikandung badan; (6) berbuat baik kepada makhluk Allah, dan jauhi dari mencari musuh.

Mama dan baba sayang pada anak-anak. Andai kalian tesasar dari jalan yang benar, segeralah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah yang maha Pengampun. Mama tidak ada harta yang banyak untuk diagih-agihkan kepada anak-anak mama, cuma ilmu, kasih sayang dan kata-kata nasihat yang mama boleh kongsikan dengan anak-anak.

Cukuplah setakat ini. Mama akan meninggalkan pesanan pada masa yang lain untuk kalian jadikan panduan dalam melayari kehidupan dunia yang mencabar ini.

Wasalam.

Mama

No comments:

Post a Comment