February 2, 2012

Aku dan kehidupanku

Tuhanku
Sesungguhnya apa yang aku lalui
dari saat aku dilahirkan
Hingga akhir perjalananku kelak
Adalah lakaran yang telah engkau janjikan buatku
Unik dan tiada sesuatu pun yang mampu mengubahnya
tanpa keizinanMu

Tuhanku
Dari setiap ujianMu
Aku mengenal erti kehidupan
Tawa, tangis, gembira, derita
Aku mengerti yang hidupku seluruhnya dalam aturanMu
Di saat kebahagiaan menyapa aku jadi lalai dan leka
Mujur ada cerita duka mengingatkan aku
Hidup ini bukan suatu mimpi yang indah
Keindahan semata tidak akan menjadikan aku dewasa
Kebahagiaan sentiasa tidak akan mengenalkan aku erti kecewa
Aku diuji silih berganti
Ujian gembira ujian duka
Ujian kemewahan ujian kesempitan
Ujian cinta ujian dicerca
Ujian kejujuran ujian kecurangan
Ujian kesihatan ujian kerjaya
Ujian demi ujian
Ujian yang aku tidak ada daya untuk menolaknya

Tuhanku
Aku sangat kerdil dan lemah
Ada ketika aku rebah ke tanah
Ada ketika aku dilambung ombak yang mengganas
Ada ketika aku diulit angin kebahagiaan yang sementara
Lalu turun hujan di tengahari yang merosakkan sebuah cerita
Namun
Aku bersyukur
Dalam tidur dalam jaga
Doaku tidak pernah putus
Dari kecil telahku amalkan
Dan ternyata Kau memimpin aku di setiap saat di setiap ketika
Kekuatan yang kau berikan
Keyakinan yang kau cekalkan
Kesabaran yang kau anugerahkan
membangkitkan semangatku untuk bangun semula
menguatkan langkahku untuk terus menapak ke hadapan
biarpun aku tidak tahu apa lagi halangan yang bakal menerpa

Tuhanku
Berilah aku cahaya keimanan
di saat usiaku semakin meniti petang
jauhkanlah aku dari sentiasa mempersoalkan
segala qada' dan qadar yang telah diciptakan
Jadikanlah aku hambaMu yang redha
Jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa dilindungi
Dengan rahmat dan cahaya kasih
Agar kelak bila tiba waktu untuk pulang
Aku sudah bisa pergi dengan tenang
Tenang kerana hidupku tidak pernah menyusahkan orang
Tenang kerana aku sentiasa memberikan kasih sayang
Berjaya menjadikan anak-anakku insan beriman
Berjaya menjadi suri yang sempurna di sisi suami tercinta
Berjaya sebagai anak, sebagai kakak, sebagai teman
Berjaya melengkapkan lakaran hidupku dengan sempurna
Semoga ibadatku dan 'insan' diriku diterima olehMu

No comments:

Post a Comment