February 23, 2012

Selamat Ulangtahun Anakku

Nurin dah 7 tahun! Tak perlu hisap ibu jari lagi, boleh? Itulah tabiat Nurin ketika melayan matanya di peraduan. Sekejap benar masa berlalu. Baru rasanya abang memandikan Nurin, aku menyusukannya di pangkuan, melayan keletah dan kerenah anak dara seorang ini, nah hari ini genap umurnya 7 tahun. Cantik dan lebih teratur gayanya kini. Bicaranya juga sudah mula menunjukkan kedewasaan, tidak lagi penuh dengan merajuk dan menangis. Kadang-kadang terserlah juga sifat kasar yang dipengaruhi dari abang-abangnya...mana taknya, asyik kena buli jer.

Ya Allah, terima kasih di atas kurniaan seorang cahaya mata perempuan buatku. Terima kasih di atas kesempurnaan kejadian, keelokan rupa paras dan budi pekerti yang kau berikan kepadanya. Moga-moga kau limpahkan cahaya keimanan ke atas putera dan puteriku, mendorong mereka mentaati perintahMu dan meninggalkan laranganMu. Lindungilah anak-anakku wahai tuhan yang maha melindungi hamba-hambaNya. Limpahilah mereka dengan rahmat dan rezeki yang berpanjangan, kasih sayang dan ikhsan yang tidak pernah habis, janganlah sampai mereka dianiayai dan dipergunakan atas kebaikan yang mereka ada. Berilah kejayaan kepada anak-anakku dalam urusan mereka di dunia dan di akhirat. Ya Allah, benarlah harta yang paling bernilai adalah anak-anak. Suami adalah orang yang hadir dalam kehidupan kita selepas 25 tahun hidup di dunia. Buruk baik, mulia kejam adalah sifat yang dibentuk dari susur galur keturunannya. Ibu bapa, adik beradik dan anak-anak adalah penyambung warisan, pengikat keturunan yang paling dekat dengan kita. Aku berharap, anak-anakku akan mewarisi sifat-sifat baik yang mengalir dalam darah aku dan suamiku, agar mereka dan keturunan mereka akan lebih baik dari keadaan kami ketika ini. Ya Allah Ampunilah aku.

No comments:

Post a Comment