Melihat keadaan abang sekarang, hatiku semakin redha dengan apa yang sedang abang tanggung. Abang menunjukkan sikap yang positif dalam menerima ketentuan Ilahi. Tidak pernah aku mendengar dia merungut akan rawatan susulan yang perlu ditempohinya...cuma keadaannya yang tidak bekerja lantaran diberi cuti yang panjang menyebabkan dia kelihatan agak tertekan. Tapi itulah suamiku...dia tidak akan sesekali menunjukkan keresahannya kepadaku. Hanya aku sahaja yang perlu bertanya dan mencari cerita yang membolehkan dia membuka mulutnya...Aku selalu pesan kepada abang, ceritalah kepada aku kalau ada apa2 yang bermain di fikiran abang supaya beban yang ditanggungnya dapat dikongsikan. Bukankah itu hakikat sebuah perkahwinan?
Semalam kami menerima berita Wak Zami telah kembali ke rahmatullah setelah 2 tahun bertarung dengan kanser hati...sayu hatiku melihat keadaan di rumah allahyarhamah. Kaum keluarga bersedih dan meratapi pemergiannya, sehinggakan seorang wanita (mungkin yang akan memandikan arwah) membuka suaranya meminta ahli keluarga supaya jangan meratapi pemergian arwah...kita memang sayangkan dia, tetapi Allah lebih menyayanginya...Al-fatihah.
Beberapa hari yang lalu, aku dilawati Kak Alya menanyakan keadaan kesihatan abang. Dia juga pernah melalui pengalaman yang sama. Arwah anaknya diserang kanser tahap 4 pada usia 20 tahun. Selam 7 bulan bertarung nyawa...namun Kak Alya redha kerana ujian itu menjadikan dia lebih dekat dengan Allah, sehinggakan pemergian anaknya seperti sudah dijangka...sehinggakan mereka sempat bermaaf-maafan, berpesan-pesanan dan di akhir waktu anaknya mengatakan sudah sampai waktu untuk dia pergi...pergi ke tempat yang indah. Ya Allah alangkah bahagianya si ibu kerana diberi kesempatan sedemikian.
Aku dan abang. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Adakah abang akan sembuh sepenuhnya? Adakah abang akan berterusan menjalani rawatan? Aku tidak tahu. Setakat ini abang kelihatannya sihat dan ceria walaupun fizikalnya sudah banyak berubah: badan kurus, rambut semakin putih dan kelihatan agak tua (kata orang). Tapi bagiku abang masih seperti dulu...berperwatakan lembut dan penuh dengan kasih sayang. Aku tenang tatkala melihat abang di atas sejadah, aku rindukan layanan dan senyuman abang tatkala aku berada jauh darinya. Andai sesuatu berlaku kepada abang, aku pasti akan kehilangan semua itu. Aku pasti akan menanggung bebanan perasaan yang tidak dapat digambarkan...namun, aku pasti Allah akan memberi aku kekuatan untuk menerima segala ketentuanNya dengan redha. Allah telah menguji aku berkali-kali, dan Allah jua yang telah mengeluarkan aku dari segala kesengsaraan dengan penuh hikmah...
Abang dan aku milik Allah. Apa juga yang akan berlaku esok atau lusa...aku yakin adalah suratan yang terbaik untuk kehidupanku. Aku takut untuk melewati saat itu...Aku ingin menggunakan peluang dan ruang yang ada sekarang ini untuk terus menikmati cinta dan kasih sayang abang...semoga Allah memberi ruang yang lebih lama untuk kami berkasih sayang. Terima kasih Allah.
No comments:
Post a Comment