June 7, 2012

Sampai bila kita akan berubah...

Pagi ini aku bersarapan di sebuah warong yang agak 'famous in town'. Seperti biasa, memang susah nak mendapatkan tempat untuk meletakkan kereta. Kawasan berbukit-bukit, jalan yang sempit, namun masih penuh dengan kenderaan yang diletakkan di sisi jalannya. Ingatkan hari Jumaat, dah jam 8.30 pagi....taklah ramai orang, maklumlah waktu bekerja. Ternyata sangkaanku meleset. Memang tempat ini menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu. Belum sempat meja dikemaskan pelanggan lain sudah mengambil tempat. Sambil memasuki ke dalam warong, matku liar mencari tempat duduk. Kami mengambil tempat di hujung sebuah meja, berkongsi dengan 4 orang lelaki berpakaian jaket teknikal sebuah Syarikat GLC. Aku melihat jam di tangan. Jam 8.30 pagi. Pukul berapa agaknya mereka memulakan kerja, tanyaku kepada suami. Pukul 9.00 pagi agaknya, jawab suamiku pendek - seperti biasa dia akan bersangka baik dengan persekitarannya. Sambil menunggu makanan sampai mataku memerhati keadaan di dalam kedai. Lebih kurang 80 orang rasanya. Yang agak mengganggu konsentrasiku ialah jenis pelanggan yang datang. Rata-rata adalah pekerja2 di kawasan persekitaran....ada pekerja swasta, ada pekerja GLC, ada pekerja gomen! Ada berpakaian pejabat, ada berpakaian teknikal. Pokoknya tidak terpancar wajah bersalah di wajah mereka, bangga dengan nama terpampang di dada jaket, tag nama bergayut di leher. Bukankah secara logiknya mereka semua patut berada di tempat kerja masing2 pada waktu sebegini? Mungkin mereka ada kerja di luar, mungkin masuk jam 9.00 pagi, mungkin tiada kantin di tempat mereka, mungkin sudah menjadi budaya! Banyak kemungkinan... Ada yang logik, ada yang tidak logik.

Mungkin aku bias dengan budaya di tempat aku bekerja. Memang benar, beberapa tahun dahulu tiada siapa yang boleh dilarang untuk makan dan minum di kantin pada waktu pejabat. Tiada siapa yang berani menegur jika staf tiada di kaunter sedangkan pelanggan sudah menunggu...sebaliknya pelanggan yang harus akur, waktu sebegini staf perlu bersarapan, perlu memastikan bertenaga untuk bekerja...semua itu alasan! Tahun ini, Pengurusan begitu tegas dengan masalah staf yang berada di kantin pada waktu pejabat. Lalu keluarlah Pekeliling melarang staf pentadbiran makan dan minum di kantin pada waktu bekerja...pada awalnya memang sukar untuk dijadikan budaya di tempat aku, lalu ada kedengaran beberapa orang staf yang ditahan oleh pegawai penyiasat kerana melanggar peraturan ini. Aku bersetuju dengan tindakan Pengurusan melarang staf pentadbiran makan dan minum di kantin pada waktu bekerja. Kena pandai-pandai aturkan waktu makan. Kalau tidak sempat, bungkus dan makan di pejabat. Sikap melepak di kantin memang tidak manis dipandang oleh pelajar dan pelawat. Ia memberi gambaran yang negatif bukan sahaja kepada staf berkenaan, malahan kepada Ketua Jabatan dan organisasi secara keseluruhannya.

Begitu juga clock in sebelum jam 2.45 ptg pada hari Jumaat. Memang menjadi kemarahan staf pentadbiran semua peringkat bila diarahkan clock in semula sebelum jam 2.45 petang. Hanya kerana segelintir yang keluar ke TAR, Sogo, Mid Valley dan tidak jumpa jalan pulang, habis semua warga kerja diarahkan clock in sebelum jam 2.45 ptg. Seakan Pengurusan sudah hilang kepercayaan pada warga kerjanya. Sudah setahun lebih peraturan berkuat kuasa. Memang begitu tinggi impaknya. Semua yang keluar akan terburu-buru untuk sampai ke pejabat sebelum jam 2.45 ptg! Tidak dinafikan ada juga manusia yang menipu dengan sistem ini. Minta kawan clock in, clock in melalui telefon pintar...tapi itu semua urusan masing-masing dengan tuhan. Peraturan yang dibuat memang tidak dapat mendisiplinkan semua, namun cukup untuk mengaturkan semula apa yang telah keluar dari landasan.

Berbalik pada kisah di warong, oleh kerana telah ada peraturan di tempat kerjaku, maka aku merasa tidak selesa melihat pekerja2 ini menghabiskan waktu di kedai makan yang terletak agak jauh dari kawasan industri/pejabat ini. Perasaanku bercampur-campur. Marah pada diriku, marah pada mereka yang ada di situ. Kalau adalah seorang yang aku kenali, mahu sahaja rasanya aku mendapatkan jawapannya...tapi dalam kehidupan sekarang, manusia tidak berani mengambil risiko bertanyakan soalan yang benar kepada mereka yang salah....takut dikatakan menjaga tepi kain orang, takut dikatakan penyibuk. Lalu orang yang lemah seperti aku ini hanya mampu mengeluh dan merungut di dalam hati. Hanya mampu mengingatkan diri supaya tidak mengikuti sikap negatif seperti itu.

Aku bertanya pada diriku....mengapa budaya seperti ini masih berleluasa biarpun kerajaan telah melakukan pelbagai initiatif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan modal insan di negara ini. Mengapa sesetengah kita tidak ada rasa malu pada organisasi yang sudi menawarkan kerja kepada kita. Tidak terfikirkah berapa ramai yang sedang menganggur, habis usaha mereka mencari kerja lalu marah2 kepada kerajaan kerana tidak menyediakan peluang pekerjaan yang cukup untuk rakyatnya. Bila difikir2kan...yang marah2 kerajaan sebab gaji tidak cukup untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat ini juga, pastinya sebahagiannya adalah mereka yang sedang melepak menikmati sarapan pagi di sini.

Berbaloikah kita bercakap tentang sumbangan majikan dan kerajaan terhadap ekonomi kita dan pembangunan negara secara amnya sedangkan kita tidak pernah mahu berubah, tidak pernah mahu mengubah sikap 'ambil mudah' dan 'selesa' kepada lebih 'passion' dan 'berdedikasi' terhadap kerja kita. Tidak pernah mahu mencontohi sikap bangsa lain (Korea, Jepun, China) yang begitu berdisiplin bekerja demi menjana ekonomi keluarga, yang begitu bersemangat membangunkan negara mereka.
Bolehkah kita menjadi lebih jujur terhadap majikan yang menggajikan kita, ikhlas terhadap rezeki yang menjadi darah daging kita.

Bagaimana agaknya budaya melepak di warong-warong pada waktu bekerja seperti ini dapat kita kikis dari kehidupan kita. Isu yang sangat mudah, tetapi membawa implikasi besar kepada ummah dan negara.

No comments:

Post a Comment