July 9, 2012

Bila diri disayangi - kisah makcik Zainab 4

Tak sangka pengalaman aku  dengan makcik Zainab menarik minat pembaca blogku. Sejujurnya aku tidak berniat untuk membanggakan diri, aku cuma ingin menyimpan pengalaman hidupku sebagai sebuah memori di dalam blogku ini. Blog ini diam tak diam, sengaja atau tidak sengaja telah dikunjungi melebihi 4500 kali termasuklah oleh diriku sendiri (hihihi). Mungkin kisah makcik Zainab boleh menjadi pengajaran kepada pembaca agar tidak memandang ringan pemergian seorang ibu tua ke tanah suci tanpa mahram. Sejujurnya aku sendiri menjadi fobia dengan apa yang pernah aku alami.

Kami memang telah lama merancang untuk menziarahi Makcik Zainab, tapi tidak berkesempatan. Aku sibuk dengan kerja pejabat, suami pula sibuk dengan temujanji untuk rawatan kimonya. Kami bertekad, sekiranya tiada aral melintang, kami akan menziarahi makcik Zainab pada cuti persekolahan bulan Mei/Jun. Dapat jenguk sekejap pun jadilah, untuk bertanyakan khabar dan melihat keadaan makcik.

Pada 1 - 3 Jun kami sekeluarga menghabiskan hujung minggu di Port Dickson. Kami memang telah merancang untuk bercuti dengan anak-anak. Suami pun telah lama menempah bilik di Permaisuri Hotel kerana tidak berkesempatan membawa anak-anak bercuti pada cuti bulan Mac yang lalu lantaran kami berada di tanah suci mengerjakan umrah. Tempat di mana kami bertemu Makcik Zainab.

Selain anak-anakku, anak-anak buahku dari Melaka juga turut serta. Mereka telah kuanggap seperti anak-anakku. Maknanya aku ada 8 orang anak pada setiap kali musim cuti sekolah. Bagi anak-anak buahku, cuti persekolahan merupakan saat yang mereka nanti-nantikan kerana boleh berkampung di rumahku. Kami akan merasa kehilangan sekiranya tiada mereka di rumahku pada musim cuti. Alhamdulillah anak-anakku rapat dengan sepupu-sepupu mereka dan tidak kesah untuk berkongsi apa saja. Percutian 3 hari 2 malam begitu cepat berlalu, baru rasanya melihat keseronokan anak-anak bermain air di Permaisuri Hotel, dah kena berkemas untuk pulang. Anak-anak buahku balik ke Melaka dengan ibunya. Anak-anak Ana juga balik dengan Intan.

Berbalik kepada kisah makcik Zainab, kami merancang untuk menziarahi makcik pada 4 Jun. Kami tidak bercadang untuk membawa anak2 takut mereka keletihan. Biarlah mereka menghabiskan masa bermain di rumah sebelum sesi sekolah bermula.

Kami juga merancang untuk memadu kasih di Cameron Highland (sudah tertangguh hampir setahun) dalam perjalanan pulang dari rumah Makcik Zainab nanti. Tapi tidak sampai hati melihat Nurin keseorangan. Abang-abang kalau dah mengadap komputer, tidak hirau tentang adiknya. Maka kami pelawa Nurin untuk ikut. Gembira betul hatinya bila diberitahu akan ke Pulau Pinang melawat nenek Zainab. Lewat petang itu, Eirfan pula meminta izin untuk ikut. Alasannya untuk menemankan Nurin. Aku berpandangan dengan suamiku sambil tersenyum. Okaylah....

Siap berkemas, aku suruh mereka tidur lebih awal kerana akan bertolak seawal jam 5 pagi. Dalam jam 10 malam Iekhsan pula menunjukkan minat untuk ikut serta. Akhirnya kami pujuk Luqman ikut sekali supaya ini menjadi percutian kali kedua pada musim cuti persekolahan kali ini....

Perjalanan ke rumah Makcik Zainab memang menyeronokkan. Sampai Pulau Pinang dalam jam 10.30 pagi, tak tahu ke mana arah untuk pergi. Kebetulan bateri handphone Dell & Blackberry yang boleh akses data telah kehabisan nyawa. Itu lebih menyukarkan kami. No telefon makcik Zainab dan Aishah (anak bongsunya) berada dalam Dell. Aduh! Beberapa kali aku on & off Dell untuk hantar nombor telefon ke hphone Nokia. Nokia sahaja yang boleh menyelamatkan kami pada ketika ini. Terpaksalah kami gunakan Google Map melalui Nokia (memang banyaklah bil bulan Jun sebab tidak ada data plan dalam Nokia - tawakkal sahaja). Berpusing-pusing mencari jalan sekejap ke Kepala Batas, sekejap ke Seberang Prai Utara, sekejap ke Tasik Gelugor, GPS memang mengelirukan.....Kubang Menerong tidak juga kami jumpa. Hampa! Hampir putus asa, sudahlah Makcik Zainab dan Aishah tidak menjawab panggilan....stress dibuatnya. Aku hantar pesanan kepada makcik, kalau jam 12 tgh kami tidak jumpa rumah makcik, kami akan bertolak pulang. Alhamdulillah jam 11 lebih Aishah menelefon aku. Dia meminta maaf kerana tidak mendengar panggilan aku kerana sibuk memandikan dan menyiapkan ibunya. Akhirnya kami sampai juga ke rumah makcik....Tidak jauh dari MPC rupanya...

Suasana begitu sayu bercampur gembira tatkala kami menjejakkan kaki di rumah makcik Zainab. Makcik duduk berlunjur di atas tilam. Badannya nampak berisi, tapi kaki dan tangan sebelah kirinya kaku seperti kali terakhir aku  uruskannya di Sri Lanka. Kasihan makcik...dia mahu keluar dari ujian yang sedang ditempuhnya ini. Dia minta aku doakan agar dia boleh berjalan seperti sedia kala. Aku menganggukkan kepala sambil mendoakannya, namun siapalah aku untuk membawa keajaiban kepada makcik. Sekadar mampu mendoakannya. Beliau tidak henti-henti memanggil-manggil namaku dan memuji-muji aku. Terharu dengan layanan makcik. Kami berborak panjang tentang kisah di Mekah. Suamiku memicit-micit perlahan tangan makcik yang sudah tidak bergerak. Sambil bersembang, kami memberikan kata-kata motivasi kepada makcik agar beliau tidak berputus harap dengan apa yang sedang dilalui. Kami ingatkan makcik agar terus mengerjakan solat dan mengingati Allah. Hanya kepada Allah tempat kita megadu dan meminta pertolongan. Kami berada di rumah makcik hampir 3 jam. Makcik bersungguh-sungguh mempelawa kami tidur di rumahnya, namun kami menolak secara baik kerana kami mempunyai destinasi lain untuk dituju selepas ini. Di akhir pertemuan makcik memeluk aku dan menyatakan dia sangat sayang kepada aku. Aku terharu. Anak2ku juga tidak kekok bersalaman dan mengucup pipi nenek Zainab. Terima kasih Allah di atas limpahan kasih sayangmu kepada keluargaku. Semoga kasih sayang yang engkau berikan dapat kami berikan kepada mereka-mereka yang berada dekat dengan kami, yang mengenali dan yang ingin mengenali kami. Semoga pertemuan ini bukanlah yang terakhir...semoga kami dapat bertemu lagi, semoga Makcik Zainab cepat sembuh. InsyaAllah...Amin

No comments:

Post a Comment