Kita bukanlah manusia yang sempurna. Apa saja yang disajikan di hadapan mata selalunya kita akan mudah percaya. Lebih-lebih lagi jika yang menyampaikan adalah idola kita, sumber inspirasi kita...pemimpin kita! Betul kita diberi akal fikiran untuk menimbang dan menilai sebelum mempercayainya, namun berapa ramaikah yang benar-benar menggunakan akal fikiran untuk menentukan apa yang di hadapan mata itu benar atau salah. Dimanakah sumber yang boleh kita rujuk untuk memastikan kesahihan berita yang diterima. Sumber rujukan kita juga tidak sama, yang suka A akan merujuk kepada A, yang suka B akan merujuk kepada B sahaja, yang suka mendengar khabar angin tidak kurang ramainya.
Caraku mungkin tidak sama dengan orang lain. Aku lebih percaya pada mata hatiku. Walau ada ketika aku silap, namun aku tetap yakin dengan caraku. Kesilapan itu suatu pengalaman yang harus diterima secara positif dan diperbaiki agar tidak diulangi lagi. Kalau orang bercerita tentang sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah orang lain, aku sukar untuk menerima cerita itu bulat-bulat dan mencari justifikasi, menambahkan perisa untuk mengesahkan apa yang dikatakan. Aku tidak boleh mengesahkan kerana aku tidak tahu cerita sebenar. Aku takut berdosa. Berdosa pada orang yang dikata, berdosa kerana menjadi penyampai cerita yang diada-ada. Lalu aku cuba membaca, melayari laman sesawang mencari maklumat, ada yang nampak logik, ada yang merapu tidak bertempat. Ada kala kubiarkan sahaja...sudah malas mahu mendengar perkara yang sama. Mengelirukan bagai sebuah drama, bagai tiada syurga dan neraka!
Aku tidak mahu menanggung dosa yang tidak perlu aku buat. Aku juga tidak percaya pada imej dan keterampilan seseorang dengan begitu mudah. Pepatah don't judge a book by its cover itu memang ada benarnya. Aku perlu mengenali orang itu, mungkin tidak berkawan secara langsung, tetapi melalui sumbangan, tindakan, perlakuan dan prinsipnya, mungkin boleh memberi aku petunjuk dalam membuat penilaian. Persepsi setiap orang berbeza-beza. Yang cantik pada mata kita tidak semestinya cantik pada mata orang lain. Yang pandai bergaya dan pandai berbicara sudah semakin ramai di muka bumi ini, betul-betul mengelirukan yang mana ahli syurga yang mana ahli neraka.
Justeru, katalah apa yang mahu dikatakan...aku tidak tuli untuk mendengarnya, namun tidak ada orang yang berhak untuk menentukan pilihanku. Kebelakangan ini semakin banyak cerita yang terpampang di media sehingga sukar untuk membezakan yang mana fakta yang mana auta. Ramai yang tiba-tiba menjadi penganalisa, jurucakap tidak bertauliah, pembawa propaganda untuk mencetuskan suasana yang membakar jiwa-jiwa yang mentah, jiwa-jiwa yang memerlukan pembelaan, katanya. Tidak kira apa yang didendangkan itu bakal membawa natijah yang besar kepada keluarga dan negara. Tidak memperdulikan sekiranya tersilap langkah boleh membinasakan masa depan anak bangsa. Masing-masing beriya-iya mempertahankan kata-kata dan tindak tanduk mereka. Yang mana betul yang mana salah...??? Semua yang dibuat oleh pihak yang satu lagi tidak kena pada mata dan dengan prinsip mereka. Tiada ucapan syukur, tiada ucapan terima kasih, tiada yang merendah diri, masing-masing jaguh dalam tarian sendiri. Semua orang melainkan 'aku'....salah. Tiada yang betul melainkan salah. 'Aku' sahaja yang betul!
Yang menjadi keliru adalah orang-orang seperti aku. Yang bermusuh-musuh, yang bersemangat membara, mencaci maki, menghina mengugut, berani mati kerana seorang idola adalah orang-orang seperti aku. Kasihan kami. Yang menjadi pemimpin hanya berani bersuara di pentas sahaja. Mungkin ramai yang tidak bersetuju, itu adalah hak peribadi. Terpulanglah.
Aku percaya semua rakyat mahukan politik yang sihat, pemimpin yang hebat. Ucapan-ucapan keramat yang menaikkan semangat, tindak tanduk yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat. Mungkin jika itu berlaku, suasana politik tanahair akan hambar, tidak akan menjadi sebegitu cerita yang menarik di media cetak mahupun media elektronik. Tidak boleh disensasikan isu-isu yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah. Perdebatan akan berkisar pada pembentukan ummah yang berbudaya positif, meningkatkan keamanan dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa, membangunankan sosio-ekonomi dan kerohanian ummah yang seimbang dan maju, membenteras jenayah yang semakin berleluasa, bagaimana menjana pendapatan negara, melahirkan anak bangsa yang bijaksananya melangkau sempadan negara, dan merancang hala tuju masa hadapan negara yang lebih jitu. Perdebatan akan lebih beretika, bukan yang menyentuh soal peribadi seseorang, bukan tindakan yang boleh menyemarakkan api perkauman, bukan keegoan yang sewenang-wenangnya mempersoalkan tinggi rendah keimanan seseorang...bukan bukan dan bukan!
....
Sebagai pemimpin, cakap biarlah selari dengan tindakan. kerja biarlah ikhlas kerana Allah. Berani kerana benar. Jangan membohongi rakyat dalam tindakan dan bicara. Rakyat bukan hamba yang boleh dipaksa-paksa...rakyat ada kuasa. Buktikan kejujuran kepada rakyat sekalian, bukannya menuding jari mencari kelemahan pihak lawan. Jangan buang masa dengan kontroversi, penuhi masa dengan produktiviti. Di mana berdirinya pemimpin yang jujur seperti ini...sukar untuk dicari, yang ada kebanyakannya mempunyai matlamat peribadim, yang pasti ada yang dulunya di sini, tidak bertemu apa yang dihajati...lalu lari ke sini ke sana untuk mencuba rezeki....akhirnya merugikan diri, mengelirukan aku lagi!
Buatlah kerja masing-masing wahai pemimpin. Biar orang pilih kita atas apa yang telah kita lakukan kepada masyarakat, bukannya atas populariti cerita-cerita peribadi, atas rahsia besar yang kita tahu semasa berada di pihak yang satu lagi. Seronokkah mengaibkan saudara sendiri? Jadilah pemimpin yang bijaksana, biar tidak popular, namun hasilnya menjadi untuk semua.
Kisah peribadi, pahala, dosa, kebajikan, kemungkaran itu urusan diri sendiri dengan Yang Maha Pencipta - ada buku catatan masing-masing. Kelak di sana kita sama sahaja.... masing-masing sibuk mencari jalan ke syurga. Tidak ada yang akan terlepas dari balasan Tuhannya.
No comments:
Post a Comment