July 9, 2012

Cerminan diri

Di hadapan cermin sedang aku berhias untuk ke pejabat
Aku merenung dalam pada diri dihadapanku
biar wajahku sudah menunjukkan pertambahan usia
uban sudah mula menunjukkan warnanya
Namun aku bersyukur kehadrat Ilahi
Raut wajahku masih berseri
Senyumanku masih menawan hati
Keazamanku untuk menunaikan tanggungjawabku
Sebagai seorang pekerja Universiti
Sebagai seorang ketua pejabat di sini
Masih berkobar-kobar tidak pernah mati
Kekuranganku yang masih ada tidak jemu-jemu aku perbaiki

Aku melihat pada cermin diri
Hari ini aku masih sihat
Diberi sedikit berkat untuk bekerja sebagai ibadat
Akal dan fizikalku masih ligat
Merangka, merancang dengan beriya-iya
Melasanakan dengan yakin
Bertanggungjawab atas tindakan yang kuambil

Aku masih gagah berdiri
Aku masih kuat berlari
Aku masih mampu bersuara dan melontarkan idea
Aku percaya yang aku seorang yang berdedikasi
Langkahku atur seiring dengan matlamat organisasi
Aku ikhlas melakukan semua ini

Itu jika aku masih sihat
Jika aku sudah sakit
Jika usiaku menghadkan kecergasanku
Jika aku tidak segagah ini lagi
Jika aku sudah tidak mampu melakukan tugas dengan penuh dedikasi lagi
Apakah akan ada yang bersimpati?
Apakah akan ada yang menghormati?
Apakah akan ada yang terus menghargai?

Adakah sumbanganku sudah mula dilupakan?
Adakah kehadiranku masih dinanti-nantikan?
Atau
Aku sudah menjadi beban
khidmat baktiku tidak lagi diperlukan
Aku akan terus dipinggirkan

Pesanan untuk diriku sendiri
Kuasa yang diberi jangan disalahgunakan
Kesihatan diri janganlah dilupakan
Hormati sesama insan
Teguran biarlah berhemah
Berbicara biarlah ramah
Kasih sayang hendaklah sentiasa dicurah
InsyaAllah
Apa jua yang akan mendatang
Pasti aku tidak akan ditinggalkan keseorangan










No comments:

Post a Comment