July 9, 2012

Masih buntu

Sepanjang hujung minggu, fikiranku masih mengingatkan kata-kata sahabat baikku tentang diriku...sangat menyentuh perasaan. Aku tahu dia tidak bermaksud untuk menyakitkan hati aku, namun nada suaranya yang bagai menempelak, menghamburkan apa yang terbuku dalam hatinya, walaupun sejujurnya dia bukan marah kepada aku tetapi kepada orang lain, maka tidak dapat tidak aku terasa tempiasnya. Aku serba salah sama ada untuk memberi ruang kepada sahabatku untuk memujuk hati yang masih tidak berpuas hati, atau perlukah aku memulakan bicara seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku pada Jumaat yang lalu. Hari ini seperti biasa, aku menumpang kereta sahabatku itu, kami tidak berkata apa-apa cuma ada sekali dua aku bertanya...adakah dia masih sudi pergi kerja bersama aku? adakah aku perlu bertanya soalan itu? Tidak mahu...aku tidak mahu memanjangkan cerita, mengeruhkan suasana. Biarlah masa suram ini berlalu segera, banyak lagi yang perlu aku fikirkan daripada memendam rasa mengingatkan kata-katanya kepadaku tempoh hari. Mungkin kesukaran perkataannya hilang dari ingatan disebabkan sudah beberapa kali aku menerima kata-kata sedemikian daripadanya, aku simpan dalam hati dan ceritakan dengan deraian air mata kepada suamiku. Mujur ada yang sudi mendengar...kalau tidak mungkin persahabatan kami tidak akan bertahan sehingga hari ini, aku percaya pada beralah dan bertoleransi...Aku sayang pada sahabatku ini. Maafkan aku sahabat atas sikap dan tindakanku yang mencetuskan kejadian pada hari Jumaat lalu....

No comments:

Post a Comment