July 24, 2012

Sedekah

Bulan Ramadhan Kareem sudah tiba. Umat islam berlumba-lumba menambahkan pahala ibadah... bertadarus, bertarawih, mengaji al-quran, bersedekah dan banyak lagi yang jarang-jarang dilakukan sepanjang tahun akan dilakukan pada bulan yang mulia ini. Masjid Al-Bukhary menjamu juadah Ramadhan untuk umat islam pelbagai bangsa: India, Bangladesh, Indonesia, Iraq, Iran, dan banyak negara lagi, makanlah bersama-sama dalam suasana ukhwah dan aman. Alhamdulillah. Tidak perlu memilih bangsa sekiranya hendak bersedekah. Kalau ke bazar-bazar Ramadhan, sering kali kita akan bertemu dengan peminta sedekah yang kudung kaki atau tangannya, ibu yang mengendung anak kecil, atau wakil-wakil rumah anak yatim dan tahfiz yang memohon sumbangan ikhlas...masing-masing sebenarnya merupakan insan yang diturunkan oleh Allah untuk menambah pahala umatnya yang murah hati untuk bersedekah. Mungkin ada yang menipu untuk menagih simpati (teringat anak-anak kecil yang menyorokkan lengan di dalam baju untuk menggambarkan tangan yang kudung tatkala menyusuri jalan pulang dari Masjidil Rahman ke hotel, atau ketika menaiki tangga Jabar Rahmah) namun mereka mempunyai akal yang waras, tidak mungkin mereka mahu meminta-minta kiranya mereka dapat hidup yang sempurna seperti aku. Itu yang bermain-main di fikiranku beberapa hari ini. Aku harap Ramadhan ini akan menjadikan aku lebih ikhlas dalam memberi. Kalau tidak mahu menghulur, tidak perlulah aku untuk mengulas kenapa dan mengapa...jawapannya mudah, mereka tidak mampu, mereka memerlukan belas kasihan insan lain. Kalau aku mahu hulurkan, aku perlu hulurkan dengan ikhlas....Mungkin ada yang tidak suka dengan golongan ini, golongan ini tidak mahu berusaha, golongan ini suka meminta-minta, golongan ini tidak ada masa hadapan, merosakkan tamadun bangsa....tetapi hakikatnya mereka itu adalah sebahagian daripada masyarakat. Dengan menghulur seringgit dua tidak akan membuatkan kita jatuh miskin, juga tidak akan membuatkan kita rugi apa-apa...ada insan pemurah yang menderma dalam nilai yang banyak tetapi tidak pernah mahu pemberiannya dimegah-megahkan...itulah yang harus aku contohi. Semoga aku redha dengan rezeki yang Allah berikan kepada aku, dan tidak berkira ketika memberi.

No comments:

Post a Comment