August 27, 2012

Dimanakah kedudukan kita?

Pandangan pemimpin dan masyarakat mengenai kedudukan UM di dalam ranking dunia jelas menunjukkan keprihatinan mereka terhadap perkembangan pengajian tinggi negara selepas pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk menambah baik ranking pengajian tinggi Malaysia di mata dunia. Kerajaan melihat pengajian tinggi sebagai mekanisme untuk memartabatkan ilmu anak bangsa Malaysia, dan peluang yang baik untuk menarik para cendekiawan dan pelabur untuk mendirikan hub-hub pendidikan yang boleh menganjak kecenderungan pelajar luar negara dari menimba ilmu di Eropah dan Amerika agar memilih Malaysia sebagai destinasi menentukan hala tuju masa hadapan mereka.

Masakan usaha kerajaan itu sia-sia...sudah beribu cendekiawan, bijak pandai dilahirkan di Malaysia, anak-anak bangsa dihantar belajar ke luar negara untuk menerokai ilmu dunia agar dapat menuntut ilmu daripada yang bijaksana, mengembangkannya pula apabila kembali ke negara tercinta....tidak mungkinlah di antara ribuan mereka tidak ada sekumpulan yang diiktiraf dan menjadi rujukan dunia. Tidak mungkin begitu lama UM wujud, para Profesornya masih belum boleh mencapai atau menandingi kewibawaan para akademik tersohor dunia. Mungkin masih belum ramai yang begitu menyerlah, tetapi bilangannya semakin bertambah. Yang menjadikan peningkatannya nampak perlahan ialah berlakunya penghijrahan segelintir 'manusia hebat ini' daripada profesion sebagai staf akademik kepada kerjaya lain demi mengembangkan sayap dalam profesion masing-masing.

Tidak dapat dinafikan fokus terhadap pengajian tinggi telah menjadi agenda negara dan banyak wang rakyat telah dilaburkan untuk memartabatkan bidang pengajaran dan pembelajaran, serta pembangunan penyelidikan dan inovasi yang menjadi teras kepada kehebatan sesebuah institusi pengajian tinggi. Usaha ke arah membawa institusi pengajian tinggi awam ke pentas dunia sememangnya dilakukan oleh semua IPTA, namun untuk mencapai aspirasi dan hala tuju menjadi antara Universiti terbaik dunia bukanlah suatu usaha yang mudah. Pada pemerhatiaku, UM sendiri sedang melalui cabaran yang maha hebat untuk meletakkan diri sebagai universiti terbaik di rantau ini. Banyak ‘sejarah’ silam yang ‘sensitif’ untuk dileraikan perlu dirungkai secara berhemah dan berhati-hati, kerana perubahan bukan suatu yang 'disukai' dan bukan suatu yang 'boleh diterima semua'. Pada masa yang sama, banyak tentangan dan halangan tidak kira dari dalam ataupun dari luar yang menjadikan ‘pelayaran’ UM kadang-kadang tersimpang. Mujur nakhodanya masih kuat bertahan menentang badai yang datang, membawa kemudi ke landasan yang asal agar tidak jauh tersasar. Lelah dan perih, keringat dan air mata, doa dan harapan...tidak dapat menggambarkan kegigihan yang perlu ada pada seorang pemimpin yang berani menyahut cabaran, yang berani menempuh segala kemungkinan, kejayaan atau kegagalan.

Pada sesetengah kita, UM telah bertapak sekian lama, budaya kerja dalam UM telah diwarisi zaman berzaman, kalau guru-guru terdahulu boleh melahirkan manusia yang berjaya dan berjasa kepada kemakmuran negara, malah ada yang mengharumkan negara di persada dunia...mengapa tiba-tiba perlu merubah cara bekerja....mengapa yang telah sekian lama mencurah bakti dianggap telah selesa, tidak produktif dan inovatif...meneruskan apa yang sedia ada dianggap sudah tidak relevan dengan kehendak semasa, mengapa perlu berbicara tentang perubahan, transformasi, ranking, autonomi dan sebagainya...apakah UM benar-benar sudah menghampiri detik kejatuhannya. Apakah pentingnya ranking UM pada negara? Bukankah UM sebagai Universiti tertua telah selesa dengan kedudukannya? Banyak persoalan yang bermain-main di fikiran. Banyaknya hanyalah persepsi yang tidak memberi makna. Duniakan sedang berubah dengan pesatnya...perlulah disesuaikan dengan perubahannya.

Persepsi warga UM dan masyarakat berbeza-beza...ada yang optimis UM bakal berada di ranking 100 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2015, tidak kurang yang pesimis dan skeptikal dengan kerja keras UM untuk memenangi cabaran tersebut. Pelayaran telah bermula, pelbagai cabaran telah ditempuhi, ada kala berjaya, ada kala tersilap perhitungan...namun mengalah bukan istilahnya. Perjalanan tidak harus berpatah balik, perjalanan harus diteruskan kerana cahayanya mungkin semakin dekat dengan kita. Bertawakal, yakin dan berpegang pada Yang Maha Esa. Yang penting nakhoda perlu memastikan anak-anak kapal seiring dengan matlamatnya, masing-masing saling memerlukan, masing-masing mempunyai peranan.

Naib Canselor telah menyatakan iltizamnya untuk meletakkan kedudukan UM antara 100 universiti terbaik dunia, maka setiap dari kita yang bergelar pemimpin dalam batas masing-masing juga perlu memikirkan apakah tindakan yang boleh kita ambil bagi memastikan diri kita berkualiti, staf yang dibawah pimpinan kita berkualiti, dan perkhidmatan yang kita berikan juga berkualiti, kualiti yang setanding dengan universiti terkemuka dunia.

UM pasti boleh menduduki 100 universiti terbaik dunia, itu kata hati kecilku, walaupun kecut perut jika takdir sebaliknya yang berlaku, namun aku pasti...apa juga kedudukan UM kelak, hampir semua warganya telah berubah ke arah yang lebih baik...berubah untuk menjadikan UM universiti terbaik di persada antarabangsa. Untuk itu aku sangat berbangga menjadi insan kerdil didalamnya.

my 2 cent tot....

No comments:

Post a Comment